Exco tinjau kerja pemasangan paip di Tanjung Dawai

- Advertisement -

MERBOK: Penambahan bilangan pasukan kerja diharap akan membolehkan projek dilaksanakan dengan lebih aktif terutama bagi kerja-kerja pemasangan paip untuk perkhidmatan perbekalan air sekitar Tanjung Dawai.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria berkata, ini untuk memastikan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau berjalan mengikut jadual.

“Setakat ini saya mendapat laporan pemasangan paip-paip tersebut sedang digiatkan” jelas beliau yang meninjau perjalanan kerja projek tersebut diiringi ADUN Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali.

Pojek menaiktaraf LRA Bukit Selambau itu katanya, sangat penting bagi memastikan bekalan air bersih yang mencukupi dan berkualiti kepada penduduk meliputi sebahagian besar Merbok dan Sungai Petani.

“Kontraktor berjanji untuk menambahkan bilangan dan pasukan pekerja untuk mempercepatkan proses tersebut,” ujar beliau memberitahu perkembangan projek itu ketika meninjau kerja-kerja pemasangan paip di Tanjung Dawai, hari ini.

Berikutan itu beliau amat mengharapkan projek itu dapat diselesaikan seperti yang telah dijadualkan, sekali gus bakal memberikan perkhidmatan perbekalan air bersih kepada penduduk setempat serta persekitaran.

Lawatan tersebut turut disertai sama oleh wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pemaju. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -