Gagal tindak pantas, akibatkan kemalangan maut

- Advertisement -

SEREMBAN: Beberapa insiden kemalangan maut yang berlaku akibat pokok tumbang mungkin dapat dielakkan sekiranya pihak kerajaan bertindak pantas atas laporan awal berkenaan risiko kejadian.

- Advertisement -

Kamarol Ridzuan Md Zain (PN-Paroi) yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata demikian pada Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Menurut beliau, insiden kemalangan pertama pada 3 April tahun ini melibatkan penunggang motosikal warga emas berusia 62 tahun yang maut setelah melanggar pokok tumbang.

Manakala pada 4 April katanya, melibatkan lelaki berusia 48 tahun yang meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian berdekatan Taman Rashidah Utama, Jalan Senawang-Paroi selepas keretanya dihempap pokok tumbang.

“Saya telah memaklumkan perkara ini dalam Sidang Dewan pada Disember 2023 yang lalu. Spesifik tempat itu saya bagitahu. Jalan Paroi-Senawang sempadan DUN Paroi dan DUN Ampangan. 

“Saya yakin YB Exco yang bertanggungjawab turut maklum perkara ini. Bagi saya, pihak YB Exco perlu bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan atas kematian ini,” tegasnya.

Namun tambahnya, beliau tidak nampak sebarang tindakan serius daripada Exco terlibat dalam permasalahan yang pernah beliau lontarkan di dalam DUN Negeri Sembilan pada sesi lepas itu. 

“Oleh itu, saya ingin tegaskan sekali lagi, mohon kepada YB Exco bertanggungjawab meneliti tempat yang mempunyai risiko seumpamanya untuk ambil tindakan pencegahan pantas sebelum insiden tidak diingini berulang lagi. 

“Kehilangan nyawa adalah perkara yang tidak boleh kami terima di peringkat pembangkang,” katanya 

Tambah Kamarol, antara lokasi yang perlu diambil perhatian oleh pihak Exco bertanggungjawab ialah Senawang, Paroi dan Ampangan di mana ia adalah kawasan padat penduduk dan dikelilingi banyak pokok besar telah tua dan reput. 

“Saya yakin ada beberapa lokasi lagi di Negeri Sembilan ini yang mempunyai risiko yang sama. Saya berharap tindakan reaktif dan proaktif benar-benar dibuat kali ini supaya insiden pokok tumbang dan seterusnya menyebabkan kematian rakyat tidak berulang lagi. 

“Saya juga berharap tidak ada lagi mana-mana Ahli Yang Berhormat atau Pihak Berkuasa Tempatan memberi alasan hujan atau faktor cuaca yang tidak dapat dikawal. 

“Sewajarnya bila menyedari wujudnya risiko lebih besar seperti hujan lebat berterusan, pihak Yang Berhormat sepatutnya sedia maklum untuk mengambil tindakan pencegahan proaktif lebih serius,” ujarnya.

Katanya lagi, bukan sahaja pokok tumbang, tetapi aduan berkaitan risiko kemalangan seperti jalan tidak rata, beralun-alun, berlubang dan risiko tanah runtuh pernah beliau kemukakan perlu diambil perhatian dan tindakan pihak kerajaan.

“Banyak aduan daripada rakyat DUN Paroi telah dibuat berulang kali berkaitan isu ini melalui SISPAA. Namun pihak Exco kerajaan cuai dalam menguruskan aduan melibatkan keselamatan rakyat sehingga menyebabkan kehilangan nyawa,” ujarnya kesal. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -