Ahli DAP turut terbeban ekonomi era Madani

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS, Steven Koh Tien Yew menyifatkan masalah ekonomi yang membelenggu negara akan menyebabkan sokongan pengundi Cina beralih dari Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Menurut beliau, kaum Cina yang sebahagian besarnya terlibat dalam sektor perniagaan amat mengambil berat hal ehwal ekonomi yang ketika ini sangat memberi kesan kepada mereka.

“Memang kita lihat orang-orang Cina cenderung kepada DAP. Tetapi pengundi-pengundi DAP juga turut merasakan kesan ekonomi ketika ini seperti kenaikan harga barang.

“Jika berlaku kenaikan harga barang yang membebankan rakyat, penyokong-penyokong DAP juga akan membeli sesuatu barang itu pada harga yang mahal juga. Jadi mereka juga rasa terbeban,” ujarnya.

Terang beliau, rakyat sebenarnya mahukan perubahan dan solusi terhadap isu kos sara hidup sekarang, namun ironinya kerajaan memerintah tidak mampu membawa negara keluar dari masalah tersebut.

Steven berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerling sempena PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB), di sini, hari ini.

Beliau yang membantu kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) melihat wujud peningkatan sokongan kepada PN dalam kalangan kaum bukan-Melayu berbanding pada PRU15 dan PRN enam negeri sebelum ini.

“Pada kali ini saya nampak PN pada ‘track’ yang betul untuk merampas kerusi KKB. Saya yakin rakyat bersedia menghantar signal referendum penolakan terhadap PH yang gagal menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya, faktor seorang yang berpengalaman dan anak tempatan menjadi kekuatan kepada calon PN, Khairul Azhari Saut, dalam meraih sokongan dan undi rakyat pada PRK kali ini.

“Dari segi pengalaman, calon PN lebih matang dan berpengalaman. Kita boleh lihat biodata beliau dengan penglibatan beliau sebelum ini dalam bidang kemasyarakatan.

“Selain itu, calon PN ini adalah penduduk tempatan yang lebih faham tentang masalah penduduk tempatan berbanding calon DAP yang merupakan orang luar,” katanya.

Beliau turut menyeru agar pengundi-pengundi KKB supaya mengundi PN bagi menghantar suatu signal bahawa Kerajaan Madani sudah gagal dalam menyelesaikan masalah di kawasan itu.

“Sama-sama ambil peluang beri undi dan keyakinan bahawa PN yang mampu menyelesaikan masalah rakyat di KKB,” ujar beliau yang merupakan mantan calon PN-PAS bagi Parlimen Bukit Mertajam dan DUN Jawi, Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 5/5/2024

- Advertisement -