Khairul Azhari-PN berpotensi pecah tradisi KKB

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Pemilihan Khairul Azhari Saut yang berbangsa Melayu sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi PRK N.06 Kuala Kubu Bharu dilihat bakal memecah tradisi kerusi itu yang sebelum ini disandang wakil rakyat bukan-Melayu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini disebabkan pelbagai kelebihan yang ada pada Khairul dan PN termasuk keterbukaannya kepada semua kaum, seterusnya  mengambil alih kerusi tersebut.

“Ini peluang untuk kita maklumkan walaupun kerusi ini kerusi tradisi bukan-Melayu, tetapi ini tidak menjadi masalah kepada saudara Khairul kerana beliau anak jati Hulu Selangor yang lebih memahami geopolitik dan juga apa yang berlaku di sini,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, jelas beliau, Khairul tetap calon yang terbaik bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi juga kepada pengundi daripada kaum-kaum bukan Melayu yang merupakan penduduk di situ.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily usai sesi taklimat bersama jentera bantu PN dari Melaka yang berlangsung di Bilik Gerakan Utama PN di Batang Kali, di sini, hari ini.

Lebih 50 petugas jentera bantu PN Melaka daripada Parlimen Masjid Tanah dan Alor Gajah hadir bagi fasa pertama yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Azmi Sambul.

Jentera PN Melaka ditempatkan bagi membantu kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerling, manakala kawasan-kawasan lain akan hadir membantu untuk fasa-fasa seterusnya.

Turut hadir dalam sesi taklimat itu ialah Pengerusi Bersekutu BERSATU Selangor, Dato Goh  Gaik Meng dan Ketua PDM Kerling Edwin Chen. – HARAKAHDAILY 4/5/2024

- Advertisement -