Madani: Tidak harus berlaku langgar semangat federalisme

Mohd Yusop Majid
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Mohd Yusop Majid menyifatkan Akta Laut Wilayah 2012 yang dinyatakan oleh Menteri Undang-Undang Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Azalina Othman Said berunsur politik yang mengelirukan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri menyatakan demikian susulan kenyataan menteri itu bahawa Terengganu dan Kelantan tidak berhak menerima royalti daripada hasil petroleum kerana mengikut Akta Laut Wilayah 2012, negeri terbabit hanya boleh menuntut hak royalti petroleum sehingga tiga batu nautika sahaja dari garis air surut.

“Pada saya ini adalah merupakan satu jawapan bersifat politik yang mengelirukan dan tersasar daripada fakta undang-undang dan sejarah,” kata Yusop ketika membahaskan Usul Penolakan Akta Laut Wilayah 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurutnya, isu royalti hasil petroleum sentiasa dimainkan mengikut musim dan ia gagal dinokhtahkan secara jelas dan muktamad oleh Kerajaan Persekutuan.

“Maksud bermusim di sini ialah sekiranya kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang, yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, lalu diambil tindakan menafikan pembayaran secara berjadual menurut Perjanjian 22 Mac 1975 antara Petronas dan Kerajaan Terengganu.  

“Persoalannya sama ada Perjanjian 22 Mac 1975 antara Petronas dan Kerajaan Terengganu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan menurut undang-undang Malaysia atau adakah Akta Laut Wilayah 2012 telah membatalkan Perjanjian 22 Mac 1975?

“Jika benar ada pembatalan perjanjian tersebut di sebabkan berlawanan atau ultra virus dengan Akta Laut Wilayah 2012 maka Kerajaan Persekutuan secara unilateral meluluskan akta tersebut tanpa mengambil kira perkara yang dinyatakan dalam Artikle 80 Perlembagaan Persekutuan Terengganu sebagai negeri dalam persekutuan memiliki hak kedaulatan dan perlu dihormati secara berperlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, dalam konteks Malaysia Madani ini tidak seharusnya berlaku perlanggaran semangat federalisme oleh Kerajaan Persekutuan bahkan ia juga tidak selari dengan falsafah karamah insaniah yang sentiasa dizikirkan oleh Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -