Akta Laut Wilayah seolah-olah ada niat tersirat

Ir Saiful Azmi Suhaili
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mahupun Persekutuan sewajarnya menghormati prinsip federalisme dengan menghormati hak-hak dan tanggungjawab bersama.

- Advertisement -

Ini, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa yang ketara dan merampas hak pihak yang lain.

“Kita telah diwariskan dengan Perlembagaan Persekutuan yang terdapat kelemahan padanya kerana ia adalah ciptaan manusia tetapi ia telah memperincikan hak-hak dan tanggungjawab seperti yang diterima pakai hari ini. Tetapi, jangan hendaknya tanggungjawab dan hak itu dilanggar kerana ia akan mengakibatkan masalah yang sukar diselesaikan.

“Yang Berhormat Menteri ketika menggulung pembentangan Rang Undang-undang Akta 750 atau Akta Laut Wilayah 2012 telah memperihalkan hasrat dan tujuan yang cuba ditonjolkan oleh kerajaan Persekutuan adalah baik.

“Tetapi, saya melihat seolah-olah ada niat yang tersirat di sebalik itu bagi menghakis hak negeri-negeri terhadap hasil tanih yang terdapat pada pelantar benua,” ujarnya semasa membahaskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman, hari ini.

Kata beliau, hakikatnya mereka berniat tidak jujur ketika Terengganu telah dipimpin oleh PAS setelah dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999.

Tambahnya, ia jelas dapat dilihat apabila dalam mesyuarat agung Umno negeri suatu usul telah dibuat bagi mendesak kerajaan pusat untuk menafikan bayaran royalti kepada kerajaan negeri yang telah kesekian tahun dibayar terus oleh Petronas kepada negeri.

“Pada 5 September 2000 pembayaran royalti daripada Petronas kepada Negeri Terengganu ini telah diganti kepada pemberian wang ihsan oleh kerajaan pusat.

“Untuk rekod Terengganu mula mendapat bayaran royalti terus daripada Petronas pada tahun 1978 sebanyak RM13 juta sehingga 1999 dengan bayaran RM436 juta.

“Apabila kerajaan pusat menghentikan pembayaran royalti dan menubuhkan JPP untuk membelanjakan wang tunai kepunyaan negeri Terengganu, maka ia dilihat sebagai tidak mengiktiraf pilihan rakyat Terengganu sebagai sebuah daripada 13 buah negeri dalam Perseketuan Malaysia,” katanya.

Pada kacamata ahli politik, kata Saiful, tindakan itu dibuat semata-mata atas alasan politik, di mana untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri pada masa itu gagal melaksanakan pembangunan negeri melainkan kerajaan pusat.

Manakala, katanya, bagi penganalisis undang-undang pula, mereka berpendapat tindakan kerajaan pusat adalah berlawanan dengan Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pemerintah kerajaan pusat tidak boleh melampaui apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa negeri.

“Dalam satu ungkapan yang biasa kita dengar ‘perkataan yang benar, tetapi dikehendaki daripadanya kebatilan’,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -