Selenggara berkala saliran usaha kurangkan risiko banjir

Hanafiah Mat
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu telah melaksanakan program-program penyelenggaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran di daerah Kuala Terengganu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, penyelenggaraan itu dilaksanakan sebagai usaha dalam mengurangkan risiko kejadian banjir bagi menghadapi musim tengkujuh 2023.

“Sejumlah RM13.7 juta telah diperuntukkan pada tahun 2023 bagi menjalankan kerja penggalian sungai dan kerja yang berkaitan di bawah Program Pemuliharaan Sungai bagi Mengurangkan Risiko Banjir dan Kerja-kerja Kecemasan di Luar Jangka (Sebelum dan Selepas Banjir) di bawah peruntukan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Selain itu, Hanafiah berkata, bagi menampung aliran air banjir kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir turut dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM3.7 juta.

“Sistem pengoperasian mekanikal dan elektrikal tebatan banjir turut diselenggara dengan sejumlah RM820,000 diperuntukkan.

“Justeru itu, dengan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak JPS ini adalah diharapkan risiko kejadian banjir dapat dikurangkan sementara menunggu kelulusan program-program penyelesaian jangka panjang iaitu RTB Anak Sungai Ibai, daerah Kuala Terenganu dengan anggaran kos sebanyak RM70,765,000,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -