PRK KKB: PN ada kelebihan, PH-BN bertelagah

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sikap tidak sebulu antara gabungan PH-BN memberi kelebihan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris berkata demikian melihat kepada beberapa kenyataan yang bertelagah daripada gabungan parti berkenaan.

“Kita tengok kenyataan daripada MCA, MIC parti yang sudah lama dalam BN telah buat kenyataan tak nak terlibat dengan kempen Pilihan Raya Kuala Kubu Bharu, itu sebahagian daripada kelebihan kepada PN,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau berharap calon muda akan diketengahkan selain berpengalaman dalam kepimpinan parti.

“Kita nak calon betul-betul kental dengan perjuangan parti apabila dia menang dia berprinsip dan mempertahankan kemenangan PN,” katanya.

Menurutnya, tapisan pemilihan calon dibuat secara ketat untuk memastikan benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Antaranya dari segi akedemik, perjuangan, penterjemahan calon dengan rakyat, yang paling penting istiqamah.

“Kita tak nak seperti yang berlaku kepada ahli BERSATU yang tukar sokongan, tapi ini bukan semua pejuang parti yang membawa mandat daripada rakyat.

“Kita dipilih pada ketika itu (pilihan raya) dengan parti PN, maka kita pertahan sampai habis penggal, itu yang paling penting pada ketika ini,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -