Sultan Mizan zahir penghargaan negeri tarik ramai pelabur

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan di atas usaha kerajaan negeri yang berjaya menarik ramai pelabur ke negeri ini. 

- Advertisement -

Titah baginda, walaupun berhadapan dengan suasana ekonomi dunia yang penuh dengan cabaran, pada tahun 2023, kerajaan negeri masih berjaya menarik minat ramai para pelabur ke Terengganu.

“Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.75 bilion dalam sektor pembuatan, pelancongan dan logistik, Terengganu masih kekal sebagai antara destinasi utama pelaburan di Malaysia,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sultan Mizan bertitah, keberhasilan dalam pelaburan itu dipacu oleh ekosistem industri yang sudah terbentuk dengan baik melalui dasar dan peraturan yang menyokong perkembangan industri.

PITIH Negeri Terengganu 2024-2030

“Bagi menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040, di bawah Dasar Tenaga Negara 2022 hingga 2040 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024 hingga 2030 telah dirangka dan akan dilancarkan pada tahun ini.

“Kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh baharu, pengurusan dan pengkomersialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru) merupakan lima fokus industri tenaga di Terengganu yang telah dikenal pasti untuk diteroka sebagai sumber pendapatan baharu kerajaan beta,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah, perkembangan Battery Energy Storage System (BESS) telah mengubah landskap industri tenaga hijau dengan potensinya untuk dimanfaatkan bagi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan lebih cekap.

“Seiring dengan perkara tersebut, bagi mengurangkan jejak karbon dan mencapai sasaran tenaga hijau, satu projek BESS berkapasiti 100 mega watt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun.

“Projek ini merupakan yang pertama di Semenanjung Malaysia dan bakal menjadi pemangkin untuk membolehkan integrasi tenaga solar ke dalam rangkaian grid,” titah baginda.

Hab pengeluar, pemprosen utama NR-REE negara

Selain itu, titah baginda, sumber Non-Radioactive Rare Earth Element (NR-REE) merupakan sektor industri baharu dalam teknologi moden kini.

“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 15.2 juta tan NR-REE dan Terengganu memiliki deposit paling banyak, iaitu kira-kira 7,187,500 tan.

“Dengan sumber mineral baharu ini, Kerajaan Beta harus menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rantaian nilai termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-stream) diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -