Terengganu berjaya tingkat pendaratan ikan marin

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan rasa syukur di atas kejayaan kerajaan negeri dalam meningkatkan pendaratan ikan marin di negeri ini.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan perancangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Perikanan Secara Mampan melalui Plan Strategi Pertanian 2019 hingga 2023 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus pendaratan ikan marin.

“Sebanyak 13,143 tan berjaya direkod sepanjang tahun 2023,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Justeru itu, titah baginda, program yang dirancang harus diperkasakan dengan kerjasama Keraiaan Persekutuan menerusi pemfokusan kepada program pembangunan tukun ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu.

Sementara itu, titah Sultan Mizan, Banci Pertanian kali ke-4 yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi pada tahun ini turut memberikan fokus pengumpulan data secara menyeluruh untuk industri pertanian negara.

“Hasil dapatan daripada bancian ini, diharap mampu memberi sumbangan terhadap isu struktur ekonomi import makanan yang tinggi, kenaikan harga dan seterusnya bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat beta di dalam industri ini,” titah baginda.

Sultan Mizan juga menzahirkan rasa khuatir dengan kemasukan ternakan dari luar melalui penyeludupan yang tiada saringan serta sijil pengesahan bebas penyakit oleh negeri atau negara pengeluar yang boleh memberi kesan buruk kepada industri ternakan.

“Permintaan yang tinggi terhadap ternakan yang mempunyai ketidaksahihan kawalan penyakit ini memberikan kesan langsung terhadap keselamatan makanan kepada rakyat.

“Penguatkuasaan berterusan sama ada di perairan mahupun sempadan negeri perlu dipergiatkan agar isu pencerobohan sumber marin serta penyeludupan ternakan ini terkawal dan tidak berleluasa,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 22/04/2024