Peruntukan pembangkang: Bincang dengan sikap negarawan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemimpin Kerajaan Persekutuan disarankan tidak mengamalkan politik sempit terutama dalam proses pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan sepatutnya bersifat adil dan negarawan dengan mengenepikan hubungan parti dengan parti.

“Pilihan raya sudah selesai dan sekarang kita berperanan di posisi masing-masing di negeri mahupun persekutuan. Maka berperananlah di atas platform itu jangan di atas kapasiti politik sempit,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini, semalam.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya masih memperhalusi inti pati draf memorandum persefahaman (MoU) untuk diserahkan kepada pakatan pembangkang bagi menyelesaikan isu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, pihaknya sangat berharap tiada syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengagihkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya harap perkara ini dapat dibincang sebaiknya dengan sikap negarawan bukan hubungan parti dengan parti.

“Ini kerana semua Ahli Parlimen diberi undi kepercayaan oleh rakyat dan mereka patut diberi layanan sama rata dan saksama.

“Jangan asyik berkira untuk parti sebelah sana saja,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -