Dikir barat jadi harta intelek milik Kelantan

- Advertisement -

TUMPAT: Seni warisan dikir barat menjadi harta intelek milik Kelantan yang tidak boleh menjadi isu pertikaian atau rebutan mana-mana pihak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, dikir barat di Nusantara menjadi hak milik Kelantan.

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini mendaftarkan seni dikir barat dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO).

“Turut didaftarkan beberapa produk lain termasuk budu, wau dan silat jawi untuk dipaten bagi memastikan aset tersebut terpelihara sebagai harta intelek milik Kelantan.

“Bagaimanapun kesenian lain seperti batik boleh menjadi pertikaian dan rebutan memandangkan beberapa negeri turut mempunyai corak dan reka bentuk tersendiri,” katanya pada Perasmian Himpunan Anak Seni Kelantan 2024 – Malam 1000 Pendikir di Pantai Geting, Tumpat malam tadi.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Turut hadir ADUN Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat; ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan, ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Ea Chuan a/l Ea Eng.

Hampir 1,000 penonton hadir pada program yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

Kamaruddin juga berkata, walaupun dikir barat juga terdapat di Singapura, namun ia berbeza dengan dikir barat di Kelantan dari segi keaslian dikir. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -