‘Senjata Israel seperti mainan anak-anak kita’

Hossein Amir-abdollahian. (FOTO: Al Jazeera)
- Advertisement -

TEHRAN: Menteri Luar Iran tidak mengesahkan bahawa Israel berada di belakang serangan ke atas negara itu pada malam Jumaat, dan menyifatkan senjata yang digunakan ketika ia muncul di ruang udara bandar raya Isfahan lebih seperti mainan kanak-kanak.

“Apa yang berlaku malam tadi bukanlah serangan,” tegas Hossein Amir-abdollahian dalam temu bual dengan Tom Llamas dari NBC News.

- Advertisement -

“Ia lebih seperti mainan yang dimainkan oleh anak-anak kita – bukan dron.”

Amir-abdollahian, yang bercakap kepada NBC News di New York, ketika beliau menghadiri sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sehubungan itu Iran tidak merancang untuk bertindak balas melainkan Israel melancarkan serangan yang ketara.

“Selagi tidak ada perkembangan serangan baharu oleh Israel terhadap kepentingan kami, maka kami tidak akan mempunyai sebarang reaksi baharu,” katanya.

“Jika Israel mengambil tindakan tegas terhadap negara saya dan ini terbukti kepada kami, tindak balas kami akan segera dilakukan secara maksimum dan akan menyebabkan mereka menyesal,” tegasnya.

Beliau berkata serangan pada malam tadi itu bertujuan untuk menjadi ‘amaran’ buat Israel pada masa hadapan.

“Kami boleh menyerang Haifa dan Tel Aviv. Kami juga boleh menyasarkan semua pelabuhan ekonomi Israel.

“Namun, garis merah (halangan) kami adalah orang awam. Kami hanya mempunyai tujuan dari segi ketenteraan,” katanya.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan operasi peluru berpandu dan dron yang digelar Operasi Janji Benar terhadap rejim Zionis pada malam 13 April sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.

Operasi anti-Israel Iran itu dikendalikan oleh sejenis dron, pesawat tanpa juruterbang (UAV) Shahed 131/136, peluru berpandu balistik Kheibar Shekan, peluru berpandu balistik Emad, dan peluru berpandu jelajah Paveh. – Agensi – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -