Motosikal klasik tarikan pengunjung rumah terbuka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih 5,000 hadir pada majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Kota Bharu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, hari ini.

- Advertisement -

Tema Aidilfitri tahun ini yang menghimpunkan beberapa buah motosikal klasik seperti vespa, basikal klasik menarik perhatian warga bandar Kota Bharu khususnya anak-anak muda.

Tetamu istimewa pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan isteri Datin Panglima Perang, Ustazah Wan Nor Hanita Wan Yaacob dan Timbalan Speaker DUN, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Turut hadir pada program berkenaan, pimpinan dari PERIKATANAN NASIONAL (PN) pelbagai peringkat iaitu dari BERSATU dan Gerakan, badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, pemimpin masyarakat pelbagai kaum dan lain-lain jemputan.

Pengarah Program, Rohani Ibrahim ketika ditemui memberitahu, pihaknya mempamerkan motosikal dan basikal klasik pada sambutan Aidilfitri tahun ini untuk mendedahkan pada anak muda agar melihat sendiri sendiri dari dekat.

Jelasnya, motosikal vespa klasik, basikal tua yang mempunyai bakul di hadapan dan kotak kayu di belakang yang digunakan oleh penjual ikan di kampung-kampung sudah tidak kelihatan lagi.

“Sambil kita menikmati juadah, pada masa yang sama kita dapat menikmati kenderaan ini yang sudah tidak ada lagi di jalan raya.

“Pada masa yang sama kita juga tidak mengadakan cabutan bertuah tahun ini, sebaliknya 1,200 orang yang datang awal pada majlis kita, layak menerima sumbangan beras segantang baghdad dan minyak masak satu kilogram,” ujarnya lagi.

Rohani yang juga ADUN Tanjung Mas berkata, majlis berkenaan diadakan pada hari Sabtu bagi memberi peluang pada orang ramai hadir pada majlis berkenaan termasuk kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Sementara itu, sebanyak 18 kiosk yang disediakan oleh DUN-DUN Bunut Payong, Tanjung Mas dan Kota Lama untuk menempatkan juadah masing-masing seperti kambing bakar, mihun goreng, air pelbagai perisa, nasi gulai kawah dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -