Laporan UNRWA: Bagaimana Israel melayan tahanan Gaza?

- Advertisement -

AGENSI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan pelbagai bentuk penyiksaan dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap tahanan Palestin dalam parang Gaza sejak Oktober tahun lalu.

- Advertisement -

Laporan berkenaan adalah hasil soal selidik yang dilakukan terhadap bekas tawanan yang telah dibebaskan menerusi pintu sempadan Karam Abu Salim. Kumpulan ini merupakan orang awam, petugas kesihatan, sukarelawan dan petugas agensi bantuan antarabangsa serta ahli keluarga mereka yang ditahan antara November dan Disember 2023 di Utara Gaza.

Bagi kumpulan yang ditahan di Khan Yunus pula mereka ditahan pada Januari 2024. Kebanyakan mereka ialah penduduk tempatan yang bertahan di rumah masing-masing sewaktu serangan. Turut ditahan ialah mereka yang sedang bertugas di premis perubatan dan sebagainya.

Sehingga kini sebahagian mereka terus ditahan, ada yang dibebaskan dan sebahagian yang lain tidak diketahui apa berlaku kepada mereka.

UNRWA merekodkan sehingga 4 April lalu, seramai 1506 telah dibebaskan menerusi pintu sempadan Karam Abu Salim. Antara mereka, 43 kanak-kanak dan 84 wanita.

Antara mereka juga, seramai 16 orang adalah ahli keluarga agensi bantuan antarabangsa, 23 orang pegawai kerajaan dan 326 pekerja Gaza yang bertugas di Wilayah Hijau (wilayah Palestin yang dijajah Israel sejak tahun 1948). 

Tahanan-tahanan ini diangkut dengan trak askar ke kem tentera, penjara dan beberapa buah pusat tahanan. Antaranya kem tentera Zikim dan kem tahanan Sde Teman, di Bi’ru Subu’. Kem Sde Teman terkenal sebagai kem tahanan ala Guantanamo.

Tahanan wanita pula ditahan di kem Anatot di Baitul Maqdis, penjara Damon di Haifa, Utara Palestin, pusat tahanan di Asqalan dan juga penjara Ofer di Tebing Barat.

Sebahagian mereka dibawa ke penjara Jalamah utara Palestin dan pusat tahanan di bandar AlQuds.

Di pusat tahanan itu mereka akan menjalani kehidupan dengan terputus hubungan dengan dunia luar. Setiap hari mereka disoal siasat oleh pihak tentera. Kemuncaknya ialah soal siasat yang dilakukan oleh agensi perisikan Sabak.

Dalam masa yang sama mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk penyiksaan.  

Siksaan ini tidak bezakan lelaki, perempuan, tua, muda, bahkan yang sakit dan cacat juga disiksa.

Sebahagiannya dipaksa berbaring di atas lantai dengan tangan diikat dengan tali plastik lalu dipukul bertalu-talu.

Mereka tidak diberi makan minum dalam tempoh yang lama. Tidak diberi kemudahan bilik air dan tandas. Dibiarkan bersejuk dan berhujan sepanjang malam. Dicaci dan diancam bunuh.

Bekas tahanan mendakwa, semua barangan mereka yang dirampas sewaktu ditahan, tidak dikembalikan sewaktu dibebaskan.

Ramai yang cedera, patah tulang, luka, terseliuh dan sebagainya akibat siksaan berkenaan. 

Seorang saksi berkata, “Aku lihat penyiksaan terhadap seorang tua berusia 70 tahun, pesakit Alzheimer dan orang cacat penglihatan, orang lumpuh yang tidak mampu berjalan dan berdiri serta orang yang berpenyakit sawan. Semua disiksa.” 

Seorang tahanan berusia 26 tahun memberitahu, “Mereka memukul saya dengan batang besi yang boleh dilaras sehingga berdarah. Tempat yang telah luka akan ditambah dengan pukulan lebih dahsyat. Mereka juga menggunakan ‘stapler gun’ pada lutut saya. Pakunya melekat di situ selama 24 jam. Kemudian saya dipindahkan ke penjara An Naqab.” 

Seorang tahanan berusia 34 tahun memberitahu, dia ditunjukkan gambar jiran-jirannya dan diminta memperkenalkan semua individu yang terdapat dalam gambar itu. 

Sekiranya dia menjawab, tidak kenal, pegawai Sabak yang menyoal siasat itu akan mengugutnya untuk meletupkan rumahnya. 

Sebahagian tahanan turut mendedahkan mereka pernah dipaksa duduk mencangkung selama berjam-jam tranpa rehat. Juga dikurung didalam lokap dan dilepaskan anjing. 

Seringkali mereka diancam dengan ugutan bunuh jika gagal memberikan maklumat yang dikehendaki.  Seorang tahanan lelaki mendakwa dipukul kemaluannya.

Seorang tahanan lelaki berusia 41 tahun mendakwa di tendang dadanya dengan kasut dan dipaksa duduk di atas besi panas sehingga melecur punggungnya. Rakannya pula dipaksa duduk di atas paku yang disambungkan ke bekalan elektrik. 

Sebahagiannya dipaksa makan di dalam tandas. 

Sekitar 9 orang disiksa sehingga meninggal dunia. Salah seorangnya meninggal dunia kerana disiksa dengan kabel elektrik yang dimasukkan ke dalam duburnya. 

Tahanan wanita

Menurut laporan UNRWA, tahanan wanita disiksa dengan penderaan psikologi dan gangguan seksual. Pakaian mereka ditanggal dan diambil gambar mereka.

Seorang tahanan wanita berusia 34 tahun, mendakwa, “Mereka meminta tentera meludah saya, sambil berkata: “Dia pelacur dari Gaza.” Mereka memukul kami semasa kami bergerak dan mengatakan bahawa mereka akan meletakkan lada pada kemaluan kami. Mereka menyeret dan memukul kami. Lalu membawa kami menaiki bas ke penjara Damoun selepas lima hari.”

Wanita Palestin itu menambah dalam keterangannya: “Seorang tentera mengambil hijab kami, mencubit kami, dan menyentuh badan kami, termasuk dada kami. Kami ditutup mata, merasakan mereka menyentuh kami, dan menolak kepala kami ke dalam bas.” 

“Kami terpaksa berpaut antara satu sama lain untuk cuba melindungi diri kami daripada disentuh. Mereka lalu mengejek kami dengan berkata, Pelacur, pelacur! Lalu muka kami ditampar dengan kasut mereka.” 

UNRWA mendakwa kakitangannya yang ditahan turut menerima penyiksaan yang sama seperti tahanan Palestin yang lain walaupun mereka adalah kakitangan agensi di bawah PBB.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -