Serangan ke atas Iran: Perang saraf Israel-Barat

Israel ditimpa malu besar, dalam tekanan dan emosi kekalahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Israel sedang ditimpa tekanan dan malu besar di mana rejim dikatakan paling kuat di Timur Tengah hingga digelar ‘tentera yang tidak dapat dikalahkan’ itu telah jatuh reputasinya ekoran serangan Iran baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Israel kini berada dalam emosi kekalahan dengan kini cuba mengheret Amerika Syarikat dan negara Barat lain berperang bagi pihak mereka.

Mengulas serangan ke atas Iran dan beberapa negara berhampirannya sekitar jam 9 pagi waktu Malaysia tadi, mengakui keadaan sedang tegang di sana dan sedang memantau dari semasa ke semasa perkembangan dan sebarang kemungkinan.

Maklum beliau, berdasarkan laporan diikutinya, terdapat kontra antara media Barat di mana tidak menyatakan Israel atau proksinya yang membuat serangan itu, namun media pro-Iran menyifatkan serangan tersebut satu perang saraf dari Israel dan Barat.

Pun demikian katanya memetik laporan-laporan media berkenaan, keadaan adalah terkawal dan tidak memberi kesan kepada Iran, tetapi beliau menjangka perang akan merebak berikutan Israel tidak dapat berundur lagi dari perang diletuskannya.

“Kerana Israel berada dalam ‘’mood’ kekalahan setelah Iran menyerang mereka tanpa Israel dapat membalasnya melainkan dengan bantuan daripada sekutu-sekutunya yang lain, yang mereka usaha untuk ditarik bagi menyertai peperangan ini.

“Saya jangka Utara Israel dan Selatan Lubnan akan bertambah tegang setelah dilihat serangan-serangan Hizbullah ke atas Israel semakin hari semakin meningkat. Jadi tidak mustahil medan tempur baru akan dibuka di sebelah Utara Israel dan Selatan Lubnan.

“Saya juga jangka Israel akan terdesak menyerang dan menyasarkan nama-nama besar pimpinan Hizbullah dan HAMAS untuk mengurangkan tekanan dan malu yang menimpa Israel setelah serangan Iran baru-baru ini.

“Kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya dan kita berdoa agar Allah SWT beri kemenangan kepada saudara Islam kita di Timur Tengah,” ujar beliau mengandai beberapa senario. –  HARAKAHDAILY 19/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!