Iran pandang ringan serangan Israel

Anggota tentera berkawal di kemudahan nuklear di kawasan Zardanjan di Isfahan, Iran pada hari ini, Jumaat 19 April 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

DUBAI: Letupan bergema di bandar raya Isfahan di Iran pada hari ini, Jumaat yang disifatkan oleh laporan berita sebagai serangan Israel, tetapi Tehran lebih kepada memandang ringan akan insiden itu.

Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Tehran tidak mempunyai perancangan untuk membalas dendam terhadap Zionis – tindak balas yang kelihatan diukur untuk mengelakkan perang di seluruh rantau Asia Barat.

Skala serangan yang terhad dan tindak balas Iran yang ‘disenyapkan’ itu menunjukkan usaha yang berjaya oleh diplomat yang telah bekerja sepanjang masa untuk mengelak perang habis-habisan sejak serangan dron dan peluru berpandu Iran ke atas Israel, awal pagi Ahad lalu.

- Advertisement -

Media dan pegawai Iran menggambarkan sejumlah kecil letupan, yang menurut mereka berpunca daripada pertahanan udara Iran yang berjaya menghancurkan tiga dron yang berlegar di ruang udara Isfahan, lapor Reuters.

Tehran merujuk kepada insiden itu sebagai serangan oleh ‘penyusup’, bukan secara langsung menuduh Israel, seakan mengelakkan keperluan untuk membalas dendam.

Seorang pegawai kerajaan Iran memberitahu Reuters tiada perancangan untuk bertindak balas buat masa ini terhadap Israel atas insiden itu.

“Sumber asing kejadian itu belum disahkan. Kami tidak menerima sebarang serangan luar…sebaliknya sekurang-kurangnya tiga dron mini yang dilancarkan dari dalam negara telah ditembak jatuh, dan perbincangan lebih menjurus kepada penyusupan berbanding serangan,” kata pegawai itu.

Sistem pertahanan Iran berkata, ia telah memintas dron mini di wilayah tengah Isfahan, yang menurut Ketua Tentera Iran, tiada kerosakan telah berlaku di mana-mana lokasi di negara itu.

Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi berkata, butiran lanjut akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam tempoh terdekat sehingga dimaklumkan kelak, lapor Tehran Times.

Angkatan Pertahanan Iran sentiasa bersiap siaga dalam menjaga keselamatan negara Republik Islam ini. (FOTO: The Malta Independent)

Rakaman yang diambil oleh orang awam, tambah laporan itu, menunjukkan objek tidak dikenal pasti telah dipintas di ruang udara Isfahan.

Tiada letupan atau kerosakan telah direkodkan di atas tanah. Laporan oleh media Iran juga menunjukkan bahawa bandar-bandar di seluruh Wilayah Isfahan berada dalam keadaan normal, dengan orang ramai meneruskan rutin kehidupan seharian mereka.

Terdahulu, Jeneral Siavash Mihandoost, pegawai kanan Tentera Darat di wilayah Isfahan, berkata bunyi letupan yang agak kuat kedengaran di bahagian timur Isfahan pada pagi Jumaat adalah hasil tembakan yang dilepaskan ke arah objek ‘mencurigakan’ oleh unit pertahanan udara negara itu, lapor pula agensi berita Tasnim.

Israel pula dalam pada itu, belum membuat sebarang kenyataan tentang kejadian itu dan sama ada ia merancang untuk membalas serangan terhadap serangan Iran pada Ahad lalu – serangan langsung pertama kali ke atas Israel oleh Iran dalam beberapa dekad perang bayangan yang dilancarkan oleh proksi, yang telah meningkat di seluruh Timur Tengah melalui pertempuran selama enam bulan di Semenanjung Gaza.

Kedua-dua seteru selama berdekad-dekad itu telah menuju ke arah konfrontasi secara langsung sejak serangan udara Israel pada 1 April lepas yang memusnahkan sebuah bangunan di kedutaan Iran di Damsyik, Syria dan membunuh tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) termasuk seorang dua Jeneral tertingginya.

Seorang wanita berjalan melepasi sepanduk yang menunjukkan peluru berpandu dilancarkan, di utara Tehran, Iran, pada hari ini, Jumaat, 19 April 2024. (FOTO: AP)

Tindak balas Iran, dengan serangan terus ke atas Israel, tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi tidak menyebabkan kematian dan hanya kerosakan kecil kerana Israel dan sekutunya dilaporkan berjaya menembak jatuh ratusan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Tehran pada awal pagi Ahad lalu itu.

Sekutu termasuk Amerika Syarikat sejak itu telah mendesak keras untuk memastikan sebarang tindakan balas selanjutnya akan ditentukur untuk tidak mencetuskan lilitan permusuhan.

Menteri Luar Britain dan Jerman melawat Baitulmaqdis pada minggu ini, dan negara-negara Barat mengetatkan sekatan ke atas Iran untuk meredakan Israel.

Sebagai tanda tekanan dalam kerajaan kanan Israel untuk tindak balas yang lebih kuat, Menteri Keselamatan Negara Berhaluan Kanan, Itamar Ben-Gvir, membuat ciapan di platform X selepas serangan hari Jumaat ini; yang tertulis hanya satu perkataan: “Lemah!”

Ia memberi gambaran seolah-olah Ben-Gvir mengakui rejim Zionis telah mendalangi insiden letupan yang pada awalnya dilihat telah menggegarkan Tehran pada hari ini, tetapi kemudian didapati ia hanyalah tiga dron mini, berbanding serangan Iran terhadap Israel pagi Ahad lalu dengan 300 dron.

Pengakuan semberono itu dibuat pemimpin ekstremis tersebut ketika kerajaan Israel tidak membuat sebarang pengesahan tentang kejadian berkenaan, menyebabkan Ben-Gvir meraih pelbagai reaksi pengguna media sosial berkenaan termasuk pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid.

“Ciapan beliau yang menggunakan slanga bahasa Ibrani itu tidak boleh dimaafkan. Ben-Gvir telah memalukan Tel Aviv,” tegas Lapid.

Dalam pada itu, negara-negara di seluruh dunia menyeru pada Jumaat untuk kedua-dua pihak untuk mengelakkan peningkatan konflik selanjutnya.

“Adalah perlu bagi rantau ini kekal stabil dan semua pihak mengekang tindakan selanjutnya,” kata ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen. Seruan serupa dalam nada yang sama datang dari Beijing dan negara-negara Arab di rantau tersebut. – Agensi – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -