Negara berada pada hala tuju yang salah?

Muhammad Hanif Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasil kajian dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran antarabangsa Ipsos menunjukkan rakyat Malaysia yang menganggap negara berada pada hala tuju yang salah semakin meningkat.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, ia meningkat daripada 26 peratus pada Januari 2023 kepada 47 peratus pada Mac 2024.

- Advertisement -

Ustaz Hanif menyatakan bahawa kebimbangan mengenai isu cukai dan rasuah melonjak mengikut kajian firma penyelidikan pasaran antarabangsa Ipsos.

“Dalam laporan tersebut turut menyatakan bahawa, tahun-tahun selepas pandemik, rakyat Malaysia menyatakan kebimbangan utama mereka mengenai isu kewangan dan rasuah politik, serta inflasi.

“Isu cukai merupakan salah satu daripada lima kebimbangan utama, dan ia meningkat dengan ketara sejak Mac 2023.

“Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato Seri Anwar Ibrahim sering melaungkan tekad untuk menghentikan amalan rasuah.

“Namun kepercayaan rakyat terhadap isu penghapusan rasuah ini tetap kendur. Di mana silapnya? Adakah ianya hanyalah retorik semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, trend jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia telah berterusan untuk tujuh minggu berturut-turut sehingga mencatatkan aliran keluar bersih dana pada minggu lalu sebanyak RM373.5 juta.

“Ia memberi maksud bahawa pelabur-pelabur asing sedang berterusan menarik pelaburan mereka daripada pasaran saham Malaysia. Dalam erti kata lain, pelabur sedang lari meninggalkan Malaysia,” jelasnya.

Selain itu menurutnya, kejatuhan Ringgit Malaysia (RM) lebih teruk dari rupiah (Indonesia), Peso (Filipina), Rupee (India) dan Dong (Vietnam).

“Kejatuhan RM dibandingkan dengan China adalah jatuh sebanyak 3.1 peratus. (RM dibandingkan dengan) Thailand adalah jatuh sebanyak 4.8 peratus.

“(RM dibandingkan dengan) Euro adalah jatuh sebanyak 8.3 peratus. (RM dibandingkan dengan) Dolar Singapura adalah jatuh hampir 7 peratus. (RM dibandingkan dengan) Dolar US adalah jatuh 6.2 peratus.

“Kerajaan perlu memberikan fokus kepada usaha menangani kejatuhan ini. Adakah ini yang menjadikan rakyat Malaysia merasakan semakin hilang kepercayaan kepada kerajaan pada hari ini?

“Ditambah lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan membebankan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -