Kerajaan potong subsidi bahan api: Hilang segala formula, janji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Hilang sudah segala formula dan janji, yang dinanti subsidi dan bantuan tunai secara bersasaran, yang menanti kenaikan harga minyak secara berperingkat dan berterusan.”

Itu reaksi Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional, Mohd Syahir Che Sulaiman di media sosial rasmi miliknya berhubung kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkenaan pengurangan subsidi petrol pada tahun ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, sehingga kini, tiada perincian mekanisma pelaksanaan pengurangan subsidi tersebut dan rakyat ingin tahu apakah bentuk bantuan serta pemulangan juga kesan segala kenaikan.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad turut mengulas dan berkata, rakyat akan bayar petrol lebih mahal tahun ini kerana Menteri Ekonomi mendakwa subsidi petrol mesti ditarik.

“Lalu, harga minyak akan naik, harga barang akan naik, defisit fiskal negara akan turun. Menyelamatkan negara kononnya jangan sampai memangsakan rakyat dengan langkah drastik dan gopoh.

“Dasar tata kelola tahun lalu tetap menambahkan hutang dan belanja negara. Formula sebenarnya, jika subsidi terus ditarik harga barang yang sedia tinggi hari ini tetap akan bertambah naik lagi.

“Bantuan yang akan diberi kepada orang miskin sebenarnya sekadar mampu menampung sebahagian kecil kos sara hidup yang berterusan meninggi. Semakin gayat.

“Golongan sederhana pula akan jatuh miskin. Komitmen makin bertambah. Hidup makin tertekan. Negara porak peranda. Masalah sebenar tetap di situ, Menteri buat kerja bagai tikus membaiki labu,” kata beliau di dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -