PH-BN mahu heret PN tandatangani MoU

- Advertisement -

PADA 8 Mei 2023 Pemangku Raja Pahang menitahkan kerajaan negeri memberi peruntukan adil kepada ADUN pembangkang di negeri itu.

- Advertisement -

Dan pada 19 Mac 2024 Yang di-Pertuan Agong pula mahu peruntukan saksama diberi kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia. Mesej itu jelas dan mudah difahami. Orang kampung di Ulu Tembeling pun faham.

Dan baru-baru ini Sultan Pahang menyifatkan kerajaan sebagai pemerintah untuk semua sebagaimana prinsip keadilan dalam Islam iaitu apabila sesuatu diletakkan pada tempatnya.

Menurut baginda keadilan bukan hanya melibatkan mereka yang bersama dengan pemerintah, bahkan kepada pihak pembangkang juga perlu ditegakkan keadilan.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar.

Titah Pemangku Raja Pahang hampir setahun berlalu. Isunya apakah titah baginda diatur gerak kerajaan negeri. Kalau tidak, apakah ia boleh diistilah sebagai tidak patuh.

Derhaka

Atau bahasa istana disebut sembah derhaka. Ini kerana pembangkang di Pahang mendakwa mereka terpaksa menggunakan elaun dan duit poket sendiri untuk membantu rakyat.

Menurut ADUN Beserah Andansura Rabu, kerajaan Pahang menafikan hak pembangkang mendapat peruntukan sewajarnya.

“Peruntukan apa sudah disalur kepada pembangkang. Hanya sejumlah RM30,000 setahun untuk pembangunan kecil yang diuruskan oleh pejabat daerah.

“Dan RM5,000 setahun untuk program-program kebajikan dalam bulan Ramadan. Berapa banyak projek pembangunan kecil yang boleh dilaksana dengan peruntukan RM30,000,” ujar Andansura.

Sedangkan pada 12 Jun 2021, pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Muhyiddin Yassin derhaka kerana tidak memanggil sidang Dewan Rakyat ketika wabak Covid-19 masih mengganas.

Ketika itu seorang pemimpin Amanah menyifatkan kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) sebagai derhaka. Isunya Parlimen dan DUN tidak bersidang kerana wabak.

Dewan Rakyat dan DUN tidak bersidang ketika itu ada sebab. Wabak Covid-19 masih menular dan ganas.

Pada 20 Januari 2021 kes positif Covid-19 merekodkan 165,371 kes. Di mana keseluruhan 39,464 kes aktif sejak pertama kali pandemik itu melanda negara awal 2020.

Turut dijangkiti 16 wakil rakyat. Mereka terdiri daripada menteri, timbalan menteri, Ahli Parlimen, Senator dan ADUN.

Jelas sidang parlimen dan DUN tidak diadakan kerana wabak. Namun pemimpin PH tidak segan silu menyifatkan kerajaan PN derhaka titah raja.

Dan sekarang betul lah kata orang tua-tua, seperti pulang paku buah keras. Apa alasan kerajaan Pusat dan negeri di bawah PH-BN tidak mengagihkan peruntukan kepada pembangkang.

PN lebih demokrasi

Sedangkan negeri di bawah teraju PN lebih bersikap terbuka. Biarpun tidak menguar-uar slogan Madani, namun peruntukan kepada pembangkang tetap disalur.

Pembangkang di Kelantan mendapat peruntukan kerajaan negeri untuk Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) berjumlah RM250,000 setahun. Ada dua wakil rakyat mewakili PH-BN di negeri itu. Mereka ialah Adun Galas dan Kota Lama.

Secara waras cuba kita bandingkan peruntukan serupa di Pahang hanya RM30,000 setahun. Berbeza RM220,000 dengan peruntukan disediakan kerajaan Kelantan. Negeri mana lebih adil dalam isu peruntukan Adun.

Isu peruntukan bukan sahaja berbelit di Pahang, sebaliknya kerajaan Madani juga serupa. Banyak kenyataan pemimpin Madani yang menggambarkan situasi tersebut.

Pada 20 Februari 2023 seorang menteri menyebut ahli parlimen pembangkang yang tidak menerima peruntukan perlu membuat permohonan melalui Ketua Whip masing-masing.

Kemudian pada 7 Mac 2023 Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyebut beliau tidak pernah menolak prinsip untuk memberi peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Oleh itu katanya proses rundingan wajar dilaksanakan segera bagi membolehkan peruntukan disalur secepat mungkin.

Dan pada 28 April 2023 Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula menyebut pada peringkat dasar kerajaan Madani hanya setuju memberi peruntukan perbelanjaan pentadbiran kepada pembangkang.

Jelas sikap pemimpin PH-BN seumpama lain padang lain belalang. Mereka tiada sekata dalam isu sama. Kemungkinan besar tidak diputus dalam mesyuarat.

Isunya mudah selesai, namun diputar sehingga berbelit-belit. Mengapa ia berlaku begitu. Tidak lain lagi Kerajaan Madani mengharap untung politik berganda. Mereka mahu mengheret pembangkang ke meja perjanjian.

Ini kerana setelah banyak siri rundingan dibuat, namun masih belum menjadi kenyataan. Kali terakhir pada 19 Mac lepas rundingan diadakan di bangunan parlimen.

Dan selepas hampir dua tahun usia kerajaan PH-BN, isu peruntukan pembangkang tidak selesai. Jelas ia disengajakan.

Bimbang

Agenda itu jelas kelihatan apabila enam ahli parlimen Bersatu terperangkap awal. Mereka tanpa segan silu mengumum menyokong perdana menteri. Isunya kerana peruntukan.

Lebih memalukan lagi janji Anwar mahu memberi peruntukan adil kepada pembangkang ketika berada di kerusi Ketua Pembangkang, dilanggar begitu sahaja.

Sudah jelas lagi bersuluh, kerajaan PH-BN mahu mengheret pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Perkara itu turut diakui Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Berdasar laporan media, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan semalam secara dasar bersetuju mempertimbang peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun menurutnya draf MoU akan dirangka terlebih dahulu. Ia jelas mahu mengikat pembangkang, mengusung kerajaan Madani sehingga ke akhir penggal 15.

Skrip drama seumpama itu disembahkan tidak lain bagi mengelakkan usia kerajaan Madani hanya separuh penggal. Paling bimbang sekiranya hayat Madani tidak panjang ialah Zahid dan Anwar. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -