Rumah Terbuka MB: Program tamat, pengunjung masih datang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengunjung yang hadir meraikan Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, Dato’ Seri Muhamad Sanusi Md Nor, di sini, hari ini melepasi sasaran 50,000 orang.

- Advertisement -

Walaupun majlis bermula pada jam 11.00 pagi, pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon mula dihujani pengunjung seawal 9.30 pagi.

Pada sambutan kali ini, khemah serta kawasan untuk orang ramai menjamu selera ditambah dan menjadikan persekitaran tempat program lebih luas untuk keselesaan pengunjung.

Pelbagai lapisan masyarakat, tua dan muda termasuk kanak-kanak tidak melepaskan peluang hadir meraikan majlis pemimpin nombor satu Kedah itu.

Dalam pada itu Menteri Besar mula menyantuni pengunjung kira-kira jam 12.00 tengah hari.

Antara tetamu kehormat yang hadir, termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali, para Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN), Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lain-lain.

Majlis dijangka tamat pada jam 4.00 petang namun pengunjung masih bertali arus datang untuk bersama-sama meraikan majlis berkenaan.

Dalam pada itu, kanak-kanak yang hadir turut diraikan dengan pemberian duit raya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -