Peruntukan segera untuk raih undi PRK DUN KKB?

Tatakelola, wewenang, janji reformasi dan tekad perangi rasuah Anwar dipersoal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden mempersoalkan barah integriti Kerajaan Madani yang terus membengkak di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Menurut beliau, pemimpin tersebut selama ini begitu megah melaungkan untuk melaksana tadbir urus negara menurut tatakelola dan wewenang yang dicerakin berdasarkan janji reformasi dan tekad memerangi rasuah.

Namun bidas Afnan, perkara sebaliknya terus berlaku dengan terkini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming telah mengumumkan peruntukan RM5.21 juta di tempat akan berlangsungnya PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Ahli Parlimen Alor Setar itu mengimbas komitmen Anwar terhadap isu tersebut yang diikrarkan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson tersebut pada September 2018 iaitu sebelum menjadi Perdana Menteri.

“(Dia) Janji akan kempen pilihan raya tanpa umum peruntukan, tidak akan guna pendekatan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Semasa jadi Perdana Menteri, ulang sekali lagi (Januari 2023) janji tidak akan umum projek di negeri yang ada pilihan raya,” ujar beliau.

Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa beliau tidak akan menggunakan pendekatan kempen seperti diamalkan Kerajaan BN yang mengumumkan peruntukan dan projek setiap kali berlakunya pilihan raya bagi meraih sokongan undi.

Ketika sudah menjadi Perdana Menteri, beliau menegaskan lagi tidak akan meneruskan amalan pimpinan terdahulu yang selalu mengumumkan projek-projek pembangunan ketika melakukan lawatan di negeri-negeri terutama ketika menjelang pilihan raya.

Kor Ming mengumumkan peruntukan tersebut yang dinyatakannya bagi menambah baik infrastruktur awam selepas mengadakan lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Peruntukan tersebut meliputi 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan di bawah Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Projek Kampung Baru Cina di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Sebanyak RM4.16 juta disalurkan melalui MPHS manakala RM664,000 kepada MPKK, antara projek baik pulih dan menaik taraf 10 unit gerai MPHS di Jalan Abdul Hamid serta Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor.

Dalam sesi lawatan tersebut Menteri dari DAP itu turut menyempurnakan Majlis Perasmian Bomba Sukarela Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Bharu serta menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000.

Nga juga melawat Kuil Sri Sithi Vinayagar di situ dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM127,050 kepada Pertubuhan Berhala Sri Sithi Vinayagar bagi kerja-kerja membaiki bangunan keagamaan sedia ada.

“KPKT juga telah meluluskan RM250,000 kepada Persatuan Penganut Dewa Siaw Kong dan Dewi Lee Ma untuk membaiki keadaan bangunan rumah ibadat yang lama dan uzur,” ujarnya lapor Bernama.

Beliau juga memaklumkan projek Program Rumah MADANI Rakyat di Kampung Air Panas di situ telah siap untuk diserahkan kepada penduduk memerlukan bagi menggantikan rumah lama mereka yang usang serta tidak lagi selamat untuk didiami. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -