Kalimah Allah di tapak kasut: Sengaja atau tak sengaja?

Selepas isu kalimah Allah di stokin, gempar pula di Malaysia apabila logo di tapak kasut keluaran Vern's Holding Sdn. Bhd. yang didakwa mirip kalimah Allah.
- Advertisement -

ISU logo kasut keluaran Vern’s Holding Sdn. Bhd. yang didakwa mirip kalimah Allah, tertera pada tapak kasut itu telah mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengumumkan tindakan sewajarnya perlu diambil berlandaskan undang-undang negara ini sekiranya wujud elemen ia adalah disengajakan.

Sementara, Vern’s Holdings dalam kenyataan medianya sebelum ini menjelaskan rekaan logo pada tapak kasut syarikat itu telah dilihat dan disalah tafsir sehingga mencetuskan kontroversi.

Dalam kenyataan tersebut, syarikat itu berkata logo berkenaan tidak bertujuan menghina mana-mana agama atau kepercayaan, sebaliknya hanya rekaan grafik garisan tali yang bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.
Justeru yang mana satukah yang betul, adakah ia disengajakan atau tidak disengajakan?

Ikuti ulasan Yang Di-Pertua (YDP) Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Dr Abd Rahman Hamzah mengenai isu tersebut dalam satu kenyataan

- Advertisement -

Adakah logo Vern’s itu kalimah Allah?

Logo itu bukan kalimah Allah tapi mengandungi kalimah Allah.

Pakar-pakar seni khat bersetuju bahawa logo itu bukanlah kalimah Allah secara spesifik dan ia tidaklah ditulis mengikut mana-mana kaedah seni khat tradisional.

Namun dalam masa yang sama, didapati bahawa di dalam logo ini mengandungi kalimah Allah yang bersambung dengan corak lain.

Jika difokuskan kepada kalimah Allah yang wujud dalam logo ini, ia hampir kepada bentuk khat kuno dari zaman Nabati dan skrip Ummul Jimal atau juga boleh dikaitkan dgn khat bebas kontemporari.

Kenapa orang Islam emosi?

Kalimah Allah ialah lafaz paling suci bagi umat Islam. Orang Islam tidak letak kalimah yang suci di tapak kaki. Bahkan kalau nampak apa-apa huruf Jawi pun mereka rasa bersalah kalau biarkan di atas lantai.

Apatah lagi jika ada kelibat lafaz itu kalimah Allah. Apatah lagi dipijak di tapak kaki. Mereka juga tidak akan berdiam diri kalau tahu ada orang yang pijak kalimah itu di tapak kaki.

Apakah hukum memakai kasut yang ada kalimah Allah di tapaknya?

Sekiranya jelas kalimah Allah dan sengaja memijaknya maka jelas hukumnya haram. Bahkan kufur. Namun, jika kalimah itu tidak jelas atau merasakan tulisan itu bukan kalimah Allah maka tidaklah berdosa.

Fatwa tentang hukum ayat-ayat al-Quran yang telah diracik serta dihilangkan struktur kalimah dan ayatnya mengatakan bahawa hukumnya bukanlah seperti ayat quran lagi.

Namun, umat Islam menghormati segala yang berkaitan dengan quran. Sebab itu ayat-ayat alq-Quran biasanya dibakar dan ditanam di tempat khusus atau dihanyutkan abunya ke laut supaya kehormatannya tetap terpelihara.

Kalimah Allah adalah lafaz paling mulia kerana Allah yang menurunkan al-Quran.

Adakah syarikat kasut Vern’s sengaja menghina Allah?

Niat orang tiada siapa tahu. Mungkin tidak sengaja dan mungkin sengaja. Tapi ramai dalam kalangan umat Islam seakan mempunyai persepsi ia seakan disengajakan.

Sebab logo itu dikatakan lebih hampir kepada kalimah Allah berbanding bentuk motif kasut. Peratusan berlaku secara kebetulan agak sukar diterima. Sebab itu isu ini membawa keresahan dan ketegangan.

Adakah syarikat Vern’s dan yang seumpamanya patut dihukum?

Islam adalah agama persekutuan di Malaysia. Majoriti rakyat beragama Islam. Budaya yang melingkungi dan membentuk persekitaran masyarakat malaysia adalah Islam.

Sukar diterima kalau ada orang malaysia yang kata tidak tahu bahawa kalimah Allah itu suci dan sensitif. Atau tidak kenal kalimah Allah dalam tulisan Arab. Orang Melayu tak dapat terima.

Perkara ini bukanlah kali pertama berlaku. Bukan sahaja di Malaysia tetapi di serata dunia. Sebab itu mereka rasa ada pihak yang sengaja buat provokasi. Itu persepsi umum. Sebab itu masyarakat Islam spontan marah dan tidak mahu ia berlaku lagi.

Semua pihak perlu ingat bukan umat Islam yang memulakan. Bukan umat Islam yang sengaja cari fasal. Banyak lagi perkara nak dibuat sepanjang ramadan ini.

Namun, mereka tiba-tiba terpaksa mempertahankan agama walaupun Islam adalah agama Persekutuan. Mereka tidak melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak kerajaan semata kerana itu adalah isu agama mereka.

Kalau boleh didakwa dan sabitkan kesalahan, maka perlulah dihukum setimpal. Atau paling kurang jadi pengajaran yang kuat berbekas. Itu yang diharapkan supaya msia kekal harmoni dan makmur. – HARAKAHDAILY 9/4/2024

- Advertisement -