Sultan Kedah saran tunai segera zakat fitrah  

Tuanku Sultan Kedah (kanan) menyerahkan pembayaran zakat fitrah kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato' Zakaria Othman yang disaksikan Dato’ Seri Norizan Khazali.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Rakyat Kedah disarankan agar segera menunaikan zakat fitrah dan jangan tunggu hingga saat akhir untuk mengelak terlupa atau implikasi lain.

- Advertisement -

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, rakyat Kedah digalakkan menunaikan kewajipan itu kepada wakil amil yang dilantik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Beta menyarankan agar semua rakyat di negeri ini segera menunaikan zakat fitrah kepada LZNK dan jangan tunggu hingga saat akhir kerana bimbang terlupa menunaikannya,” titah baginda.

Dalam pada itu baginda perkenan berangkat menyerahkan pembayaran zakat fitrah kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Dato’ Zakaria Othman yang disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang juga Pengerusi LZNK, Dato’ Seri Norizan Khazali.

Pembayaran zakat berkenaan disempurnakan baginda di pejabat Baginda, di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Kadar zakat fitrah di Kedah pada tahun ini ditetapkan pada tiga kadar pilihan, iaitu RM7.00 (beras tempatan dan seumpamanya), RM14.50 (beras import dan seumpamanya) dan RM22.00 untuk beras Basmathi dan seumpamanya.

Justeru semua umat Islam adalah digalakkan membayar zakat fitrah masing-masing mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari. – HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -