Mustahil pulihkan fungsi asas Hospital Al-Shifa

Kawasan Hospital Al-Shifa yang rosak teruk akibat serangan tentera Israel.
- Advertisement -

GENEVA: Harapan untuk melihat kompleks perubatan terbesar di Semenanjung Gaza kembali kepada “fungsi minimum” kini kelihatan mustahil selepas dua minggu serbuan yang menyebabkan kebanyakan kemudahan di situ musnah.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata malah memulihkan fungsi minimum dalam jangka pendek kelihatan tidak masuk akal.

- Advertisement -

Beliau menulis dalam laman media sosial X selepas misi pelbagai agensi yang diketuai WHO terhadap Hospital Al-Shifa di barat Bandar Gaza.

“WHO dan rakan kongsi lain berjaya pergi ke Al-Shifa yang pernah menjadi tulang belakang sistem kesihatan di Gaza, tetapi kini menjadi kubur manusia selepas serangan tentera Israel baru-baru ini,” katanya.

Pasukan itu mendapati sekurang-kurangnya lima mayat, katanya sambil menambah bahawa kebanyakan struktur di pekarangan hospital mengalami kerosakan besar, selain banyak aset rosak atau musnah.

“Usaha WHO dan rakan kongsi baru-baru ini untuk menyokong pemulihan perkhidmatan asas di Al-Shifa kini lenyap dan orang ramai sekali lagi kehilangan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa,” kata Tedros.

Penilaian menyeluruh pasukan jurutera diperlukan untuk memastikan keselamatan bangunan hospital untuk kegunaan masa depan, katanya.

Ancaman kebuluran, penularan wabak penyakit dan peningkatan kecederaan trauma menyebabkan WHO meminta semua pihak melindungi baki kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza, bersama perlindungan terhadap pekerja kesihatan dan kakitangan kemanusiaan.

Beliau juga menekankan kepentingan laluan tanpa sekatan untuk bantuan kemanusiaan ke seluruh Gaza dan mewujudkan gencatan senjata dengan segera.

Israel mengumumkan berundur dari Hospital Al-Shifa dan kawasan sekitar selepas 14 hari serbuan bermula pada 18 Mac lalu.

Rejim Zionis juga mengenakan sekatan yang melumpuhkan di Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduk, terutama di utara Gaza berada di ambang kebuluran.

Mengikut PBB, serangan tidak berperikemanusiaan Israel menyebabkan kira-kira 85 peratus penduduk Gaza terpaksa meninggalkan kediaman mereka., sekali gus terdedah kepada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur rosak atau musnah.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang minggu lalu meminta negara haram itu melakukan lebih banyak usaha untuk mencegah kebuluran di Gaza. – MIDDLE EAST MONITOR

- Advertisement -