Royalti: Era BN halal, era PAS…?

Foto hiasan.
- Advertisement -

APAKAH media masih dianggap sebagai fourth estate. Sejak dahulu sarjana komunikasi dan sains politik menyifatkan begitu. Asas dakwaan itu kerana media berperanan sebagai pemantau kepada eksekutif, legislatif dan judikatif.

- Advertisement -

Pengaruh media sekarang sebahagian besar diragut internet. Ini kerana internet dianggap seumpama ‘agama baru’ abad ke-21.

Namun begitu ada kajian menyifatkan peranan televisyen masih kuat sebagai media paling berpengaruh dan berkuasa. Kuasa internet biarpun masih menyengat, namun nilai keyakinan makin merosot. Banyak kisah separuh betul diviral seolah memperlihat ia sebagai benar.

Kesannya ‘kaum netizen’ mulai berhati-hati. Lebih-lebih lagi naratif berkaitan politik. Maka media tradisional seperti mendapat nafas baru. ‘Kuasa keempat’ yang dimiliki media nampaknya masih bersisa lagi.

Ruang kepercayaan pembaca atau penonton dimanfaat semula media. Hari ini ada media tidak segan silu menghidangkan sudut negetif negeri diterajui pembangkang. Banyak contoh yang muncul. Ulasan yang diketengah seakan memberi markah percuma kepada pemerintah di Pusat. Sebaliknya, imej negatif dipalit negeri di bawah pembangkang.

Antaranya isu bayaran royalti petroleum kepada Terengganu dan Kelantan. Banyak media dilihat bersekongkol dengan kerajaan Madani. Diletak premis kesalahan kepada kerajaan diterajui PAS.

Diulang semula cerita 3 batu nautika. Jawapan kita agak mudah. Kalau telaga minyak berada lingkungan 3 batu nautika, nelayan pun payah hendak keluar cari rezeki. Pelantar minyak juga boleh dilihat dari pantai.

Tidak pelik apabila sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 5 November 2015 menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).

Kelantan sudah lama mengesan kerajaan Pusat mahu mengambil peluang menghadkan sempadan setiap perairan negeri.

Ini bermakna kisah 3 batu nautika bukan cerita baru. Begitu juga apa yang berlaku di Terengganu. Ketika negeri itu diterajui Barisan Nasional (BN) istilah royalti dianggap ‘halal’.

Dan di era PAS royalti jadi ‘haram’. Ia bermaksud istilah royalti dan wang ihsan bukan statik. Ia boleh berubah berdasar ketuanan politik. Itu belum lagi diambil kira manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu sedekah 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak.

Perkara itu terkandung dalam manifesto PH menghadapi PRU 2018. Sekarang di laut mana manifesto tersebut dihumban.

Kanun Syariah

Begitu juga ulasan mengenai kes Nik Elin mencabar 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Banyak ulasan di media perdana memperlihatkan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasa Persekutuan. Mengapa tidak disentuh negeri-negeri lain juga mempunyai seksyen hampir serupa dengan Kelantan.

Contohnya, Seksyen 36 Enakmen Kelantan berkaitan apa-apa yang memabukkan. Perkara itu juga terkandung dalam Seksyen 19 di Johor, Melaka (Seksyen 50), Pahang (27) dan Selangor (18).

Begitu juga Wilayah Persekutuan (19), Sabah (57) dan Sarawak (19).  Mengapa sarjana dan penulis tidak menggambarkan DUN negeri terbabit juga melulus enakmen bercanggah dengan bidang kuasa persekutuan.

Begitu juga isu bonus hari raya penjawat awam negeri. Media menggambarkan hanya Johor, Selangor, Pahang, Perak dan Pulau Pinang membayar bonus. Negeri terbabit di bawah PH dan BN. Naratif itu memberi maksud negeri di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN) seperti tidak membayar bonus.

Sedangkan pada 23 November 2023 Kelantan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam Negeri 2024 sebanyak RM2,000. Bantuan itu disalurkan pada Februari 2024. Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM18 juta.

Bagi Timbalan Menteri Besar Dr Mohamed Fadzli ‘bonus raya’ sudah dibayar Februari lepas. Tarikh itu dekat dengan Hari Raya Aidilfitri.

“Bantuan berkenaan dimanfaat penjawat awam negeri untuk menyambut Ramadan dan hari raya,” katanya. Dan Rabu minggu lepas Kelantan, Kedah dan Perlis mengumum bagi bonus raya RM500. Begitu juga 14,457 penjawat awam di Terengganu dapat bonus RM2,000. Bonus itu dibayar Mac lepas.

Kadang-kadang media yang disebut arus perdana tidak nampak negeri pembangkang menjuarai tadbir urus atau tatakelola baik. Inilah wajah media di negara kita. – HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -