Isu Institusi Raja Melayu: Chegu Bard dipanggil ke Bukit Aman

Chegu Bard (depan, tengah) dan Nadzir (belakang, kanan) dalam sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Bukit Aman, Kuala Lumpur pada hari ini, 8 April 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Suffi Kamari)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin (atau juga dikenali sebagai Chegu Bard) telah dipanggil ke Ibu Polis Diraja Bukit Aman pada hari ini (8 April), berhubung kenyataan yang telah dimuat naik dalam Facebook (posting) beliau mengenai Institusi Raja-Raja Melayu pada 5 April lalu.

“Hari ini saya hadir ke Bukit Aman kerana dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan posting saya pada 5 April 2024 yang membela Institusi Raja-Raja Melayu dari dirosakkan imejnya,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata dalam posting tersebut, segala pandangan yang dilontarkan telah ditulis dengan penuh bersopan dan melontar pandangan betapa tidak kena apabila bahagian protokol yang membenarkan seorang Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes menghina kalimah Allah dibenarkan masuk menghadap Yang DiPertuan Agong.

“Raja melantik Hakim dan apabila OKT dibenarkan masuk mengadap diterima kononnya OKT dapat sembah maaf mengenai kes tersebut (hina kalimah Allah), maka ini memburukkan imej Raja Melayu dan mengganggu proses mahkamah.

“Adakah selepas ini OKT lain juga ada kesempatan mengadap Yang Dipertuan Agong atau ia hanya untuk tauke kaya,” katanya dalam sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam posting yang sama juga, beliau telah melontarkan peringatan kepada umum, tentang apabila sekumpulan aktivis Melayu tampil untuk menyatakan sokongan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu (dengan menghantar memorandum), tetapi memorandum itu hanya diterima untuk diserahkan di pondok jaga sahaja.

“Namun tauke (yang) hina kalimah Allah, diberi pula layanan istimewa dengan mengadap (Agong). Bahagian protokol atau regim sebagai penasihat kepada yang Di-Pertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan sudah lakukan kesalahan dan merosakkan imej Raja Melayu.

“Saya bangkitkan (wujud) usaha berterusan untuk memburukkan imej Raja Melayu yang kelihatan terancang seperti bila ada lelaki India yang terpengaruh dengan sentimen Malaysian Malaysia hina Sultan, dan videonya tular (tetapi) tidak ada pula pembesar atau Pegawai Istana tampil buat laporan atau desak (agar) tindakan (diambil).

“Itu antara intipati posting (kenyataan dalam Facebook) saya, namun seperti biasa ada pihak regim yang membuat laporan dan PDRM diasak bertindak segera.

“Ini (seperti) Zaman Edan kerana yang pertahankan hak ABATA (agama, bangsa dan tanah air) digelar rasis dan ekstremis, namun yang menjarah pula dilindungi,” tegasnya.

Turut hadir di Bukit Aman bersama-sama beliau ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Nadzir Helmi dan Pemimpin BERSATU kawasan Sungai Buloh, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Tambah Chegu Bard, masalah sebenar sekarang ialah regim campuran gagal menguruskan negara khususnya mengenai ekonomi domestik, isu peningkatan harga barang dan kenaikan kos sara hidup secara mendadak sekarang ini.

“Dalam masa yang sama, kegiatan korupsi melibatkan pemimpin regim terus berleluasa. Wujud subur pula kini komplot pemimpin korup yang bekerjasama dengan kapitalis taikun yang tamak; yang kemudian mengheret Raja Melayu untuk dijadikan sebagai benteng supaya sesiapa yang mengkritik kegiatan mereka akan dikenakan kesalahan di bawah 3R (agama, kaum, raja) .

“Menjadikan Raja Melayu sebagai benteng adalah menghina dan membunuh Institusi Raja-Raja Melayu itu. Di atas semua itu, puak ultra kiasu dan ekstremis chauvanis atas nama Malaysian Malaysia mengambil kesempatan untuk menyemai (dakyah) perkauman dan Islamofobia.

“Puak ini menganggap hak bumiputera dan Islam sebagai agama rasmi di negara ini, sebagai suatu diskriminasi dari awal kemerdekaan (negara). Kini, mereka besar kepala kerana ada kuasa.

“(Bermatlamat) mahu menutup kegagalan (mereka), sentimen perkauman atau regim sengaja lembab bertindak supaya perhatian rakyat teralih,” jelas Chegu Bard.

Menurut beliau lagi, maka perhatian terhadap isu kegagalan dan korup regim dialih kepada (isu) perkauman dan sentimen agama.

“Mereka dah susun skrip raih undi dengan UMNO juara palsukan isu Melayu Islam; dan DAP pula berterusan menjuarai undi bukan Melayu Islam.

“(Saya) tak pasti sama ada Ketua Pemuda UMNO sedar atau tidak mengenai perkara ini.

“Malangnya, ada pihak yang tertipu dan siap mengeluarkan kenyataan rasmi sokong Ketua Pemuda UMNO, malah hendak memberikan sokongan dengan menyediakan khidmat peguam percuma,” katanya.

Sehubungan itu, Chegu Bard menyifatkan siasatan terhadap posting beliau tersebut sebagai ‘satu intimidasi serius dalam keadaan yang menghina Melayu Islam’.

“Mereka pasti mahu merampas gajet saya buat sekian kalinya tapi kali ini, maaf kamu tidak akan dapat; dan saya rela beraya dalam pasungan daripada menyerah kepada regim yang sedang memperbodohkan rakyat.

Beliau juga merafak sembah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dengan berkata, “Ampun Tuanku, hamba patik merayu, mohon menyedari akan Institusi Raja-Raja Melayu itu sendiri dalam risiko besar dengan pelbagai perkembangan mutakhir ini, ABATA juga diancam.

Chegu Bard juga menyampaikan pesanan dengan menyatakan, “Rakyat tengah susah dan kerajaan gagal hampir sepenuhnya. Kepada marhaen semua berjuanglah lawan ketakutan dan pembodohan ini.” -HARAKAHDAILY (8/4/2024)

- Advertisement -