MAPUTO: Lebih 90 orang maut selepas sebuah bot karam di luar pantai utara Mozambique, manakala lima orang berjaya diselamatkan dari bot yang dipercayai membawa hampir 130 penumpang.
Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan bahawa Jaime Neto, iaitu Setiausaha Negara untuk wilayah Nampula yang berhampiran lokasi kejadian berkata, penumpang melarikan diri dari wabak taun.
“Oleh kerana terlalu sesak dan tidak sesuai untuk membawa penumpang, bot itu akhirnya karam,” katanya yang turut memberitahu bahawa ramai yang maut adalah kanak-kanak.
Video yang disiarkan di platform media sosial X menunjukkan banyak mayat terbaring di pantai dan beberapa orang membawa mayat kanak-kanak.
Namun, Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan video itu.
Akhbar Guardian yang memetik agensi berita AFP melaporkan bahawa Neto berkata, penyiasat sedang berusaha untuk mengetahui punca bencana bot itu.
Dua daripada lima mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan perubatan. Pegawai kerajaan pula tidak menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen mengenai kejadian itu.
Bot itu dikatakan dalam perjalanan dari Lunga di wilayah itu ke pulau Mozambique, di luar pantai Nampula. – REUTERS