Tanggungjawab besar, pengiktirafan buat rakyat – Wan Sukairi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengurniaan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati adalah satu tanggungjawab yang besar, kata ADUN Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

- Advertisement -

“Patik dengan penuh rendah diri merafak sembah dan menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AI-Muktafi Billah Shah atas pengurniaan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Sesungguhnya, kata beliau pengurniaan itu adalah satu tanggungjawab yang besar dan pengiktirafan buat rakyat di DUN Wakaf Mempelam yang diwakilinya, begitu juga buat warga kerja pemerintahan kerajaan negeri.

“Patik sekalian mendoakan semoga KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu dikurniakan kekuatan, keberkatan dan terus kekal bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kemulian, kedaulatan dan kebesaran,” katanya.

Tambahnya, semoga rahmat Allah SWT sentiasa memayungi dan bersama-sama Tuanku dalam memakmurkan negeri yang tercinta ini.

“Doa yang penuh tulus jua dipanjatkan kepada-Nya agar sekalian putera, puteri dan Kerabat Diraja senantiasa dirahmati-Nya, dilanjutkan usia dalam ketaatan kepada-Nya dan sihat walafiat dalam keredhaan-Nya.

“Daulat Tuanku!” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri adalah antara 25 individu yang menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P. M.T) yang membawa gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Mizan Zainal Abidin ke-62, hari ini.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan bintang berkenaan pada majlis istiadat penganugerahan tersebut yang berlangsung di Istana Syarqiyyah, di sini.

Seramai 104 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang pada majlis istiadat penganugerahan itu. – HARAKAHDAILY 28/4/2024

- Advertisement -