RM2.4b pelaburan berpotensi sedang dibawa masuk – MB

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu telah berjaya mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan (total approved investment) pada tahun 2023 sebanyak RM3.75 bilion.

- Advertisement -

Justeru, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi tahun 2024, kerajaan berusaha memastikan jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini akan terus meningkat.

Ini, ujarnya seiring dengan hasrat bagi menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

Beliau berkata, setakat April ini, dijangka sebanyak RM2.4 bilion nilai pelaburan yang berpotensi sedang dibawa masuk ke negeri ini.

“Kerajaan Tuanku sedang berusaha keras, bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman kepada 104 individu di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Menurut Dr Samsuri, pembangunan di Terengganu kini berada pada landasan yang tepat dan seimbang, dengan tumpuan diberikan terhadap usaha mengembangkan ekonomi serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, hal ini telah pun disusun dalam Belanjawan 2024 Kerajaan Negeri Terengganu bagi Meneraju Era Baharu Terengganu, melalui tiga fokus utama iaitu memperkukuh keberkesanan kerajaan, mempelbagaikan sumber kekayaan dan menyejahterakan kehidupan rakyat.

“Kerajaan Tuanku kini berusaha, untuk mempelopori penjanaan pendapatan baharu, melalui pelaburan dalam bidang pengeluaran hidrogen hijau, dan unsur nadir bumi (rare earth element, REE), dengan mengadakan siri-siri perbincangan bersama syarikat utama dan terkemuka, dalam bidang ini daripada negara-negara luar,” katanya lagi.

Jelas beliau, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 pula telah melabuhkan tirai dan penyediaan laporan pencapaian sedang disiapkan.

“Pemerhatian awal menunjukkan, terdapat beberapa program pertanian, perikanan dan penternakan yang berpotensi dikembangkan pelaksanaannya, bagi perancangan strategik lima tahun mendatang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2024

- Advertisement -