Ramadan tunjukkan siapa musuh Islam yang sebenar

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan bukan sekadar penuh dengan keberkatan tetapi juga membolehkan setiap umat Islam mengenali musuh Islam dengan lebih terperinci.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, iblis merupakan musuh kepada setiap umat manusia. yang mana iblis telah bersumpah untuk membawa ramai manusia mengikutnya ke dalam api neraka.

- Advertisement -

“Jadi, bulan Ramadan ini membolehkan kita semua untuk mengenali iblis secara jelas dan terang serta melihat perangkap-perangkapnya sekali,” katanya.

Menurut beliau, antaranya ialah perangkap Ilhad (mulhid) iaitu menghasut manusia agar tidak percaya akan kewujudan Allah SWT. sebagai Tuhan.

Tambah beliau, iblis akan cuba sedaya upaya menghasut seramai manusia yang boleh supaya menganggap agama atau Tuhan adalah karut dan tidak wujud.

“Namun begitu, iblis juga mempunyai satu lagi perangkap iaitu isyrak (syirik) yang mana dia menjadikan manusia menyembah bersama dengan Tuhan perkara lain seperti patung berhala, raja yang jahat, orang-orang soleh dan sebagainya; yang mana, bahayanya ialah mempunyai bentuk dan rupa yang berbeza sepanjang zaman.

“Ini diikuti dengan perangkap Bid’ah yang mana fokus utamanya ialah bid’ah dholalah (yang sesat) yang sememangnya merupakan jarum yang halus sehingga pelakunya merasakan perbuatan tersebut adalah betul dan benar.

“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, bidaan sebegini yang golongan quraish buat ialah menyeleweng sebahagian daripada ajaran Nabi Ibrahim seperti tawaf bertelanjang dan sebagainya manakala zaman moden pula berbentuk isme yang ditampal dengan jenama Islam seperti Islam Liberal, Pluran dan seumpamanya,” ujarnya.

Beliau menyatakan, iblis juga mempunyai perangkap yang dipanggil sebagai ma’siat yang bertujuan untuk memastikan ramai manusia mati dalam keadaan melakukan maksiat, tidak bertaubat dan menganggap dosa sebagai perkara yang remeh.

Namun begitu kata beliau,
pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke halqum dan matahari terbit sebelah Barat, yang mana terdapat satu kisah yang masyhur dalam hadis berkenaan yang perkara tersebut yang mana seorang lelaki yang membunuh 100 orang dan mati dalam perjalanan dalam keadaan bertaubat yang diterima dengan rahmah Allah SWT.

“Perangkap supaya ibadat yang dibuat mendapat pahala yang sedikit juga perlu kita berjaga-jaga yang mana iblis membuatkan manusia untuk melihat amalan ibadat dengan remeh.

“Satu daripadanya ialah melakukan ibadat dengan hanya sekadar cukup syarat sah semata tanpa memikirkan sepatutnya perlu mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

“Contoh yang saya boleh beri ialah seorang peniaga iaitu apabila berniaga menyediakan modal, maka tidak ada peniaga yang normal hanya inginkan pulangan modal tanpa untung dan kita perlu berjaga-jaga dengan perkara sebegini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2024

- Advertisement -