Program unsur politik di masjid: PAS Gerik lapor JAIP

Program anjuran Asyraf Wajdi di sebuah masjid di Gerik, Perak baru-baru ini. (FOTO: Facebook PAS Perak)
- Advertisement -

GERIK: PAS Kawasan Gerik telah membuat laporan dan menghantar bantahan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP, susulan program berunsur politik kepartian di sebuah masjid baru-baru ini.

Setiausaha PAS Kawasan Gerik, Pozi Sani berkata, program yang dimaksudkan itu adalah anjuran Dr Asyraf Wajdi yang telah mengadakan majlis tadarus al-Quran dengan wanita Umno di Masjid Ghufran Felda Nenering dan Masjid NurSalam Batu 4 Gerik.

- Advertisement -

Program tersebut dilaporkan telah diadakan sempena program sehari bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia itu yang juga merupakan mantan calon Barisan Nasional Parlimen Gerik, dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

“PAS memandang serius perkara tersebut kerana bertentangan dengan arahan Sultan Perak agar masjid tidak dipolitikkan.

“Menganjurkan program parti di masjid adalah sesuatu yang jelas bertentangan dengan arahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Gerik telah memanjangkan perkara tersebut untuk penelitian pihak JAIP kerana tindakan itu dilihat tidak menghormati arahan Sultan Perak dan pihak JAIP sendiri.

“Ia adalah satu contoh yang buruk kepada rakyat kerana ianya boleh menimbulkan kekeliruan rakyat bagaimana parti yang menjadi sebahagian kerajaan melanggar arahan kerajaan sendiri.

“Dalam masa yang sama, pihak kerajaan sering menuding jari kepada pembangkang kerana mempolitikkan masjid,” ujarnya.

Tambah beliau, sebagai sebuah parti politik yang bergerak atas paksi undang-undang, PAS sentiasa akur dengan arahan dengan arahan di peringkat negeri yang menegah penggunaan masjid sebagai tempat program kepartian.

“Ia selaras dengan arahan Tuanku Baginda Sultan Perak yang dikeluarkan oleh JAIP,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2024

- Advertisement -