Bawa ke mahkamah sekiranya Speaker enggan isytihar 6 kerusi kosong

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) yakin rakyat akan terus memberi sokongan terhadap gabungan itu sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Gua Musang dan Jeli nanti.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rakyat Gua Musang masih ada sentimen kepada PN sekiranya PRK diadakan.

“Kita tunggulah dan saya yakin rakyat di Gua Musang akan terus memberi sokongan dan rakyat masih mempunyai sokongan terhadap PN seperti ketika PRU15, lebih-lebih lagi ada wakil rakyat yang bertindak mengkhianati mandat mereka.

“Bila pengkhianatan mandat berlaku rakyat menolak wakil rakyat terbabit,” katanya di sini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang dan Jeli menyatakan sokongan terhadap perdana menteri biarpun masih sebagai ahli BERSATU.

Minggu lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu.

Pindaan yang dibuat mendesak, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN daripada BERSATU yang telah memberi sokongan pada perdana menteri wajar melepaskan jawatan masing-masing.

Ini kerana kata Takiyuddin, perlembagaan baru parti itu telah meluluskan mana-mana wakil rakyat yang menunjukkan sokongan yang tidak sama dengan pendirian Bersatu mereka dianggap terpecat sebagai ahli.

“Dalam undang-undang lompat parti, mana-mana orang yang terpecat daripada parti, seseorang itu dianggap melompat parti dan mereka perlu mengosongkan kerusi.

“Enam ahli Parlimen dan seorang ADUN masih ahli BERSATU, tidak lompat parti, tetapi dia melakukan kesalahan kerana menyokong pihak lain walaupun mereka mendakwa undang-undang yang diluluskan itu baru dipinda dan baru diluluskan.

“Bagi kita dia sedang melakukan kesalahan sehingga kesalahan itu boleh diambil tindakan menyebab dia terpecat dari parti BERSATU.

“Dalam keadaan begitu, kerusi-kerusi yang dimenangi mereka sebelum ini mengikut undang-undang perlu dikosongkan untuk diadakan PRK,” katanya.

Menurutnya juga PN akan membuat laporan pada Speaker Dewan Rakyat dan kalau Speaker enggan menerima (kosongkan kerusi) proses ke mahkamah pula akan dibuat. – HARAKAHDAILY 6/4/2024

- Advertisement -