Akta 355: Kenyataan balas MCCBCHST semakin tersasar

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa kecewa dan terkilan yang amat sangat dengan kenyataan susulan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) hari ini yang mengulangi pendirian songsang mereka terhadap cadangan pindaan Akta 355 bagi menaikkan kadar hukumannya.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendirian MCCBCHST mengatakan bahawa cadangan pindaan tersebut tidak berperlembagaan kerana ia akan mewujudkan dua sistem jenayah di negara ini.

“Bukan sahaja tersasar, bahkan menggambarkan kejahilan pemahaman undang-undang yang ketara.

“Hakikatnya Akta 355 yang digubal oleh Parlimen pada tahun 1965 telah dipinda sebanyak dua kali, iaitu kali pertamanya pada tahun 1984 untuk menaikkan kadar hukuman daripada RM1,000 kepada RM5,000, penjara 6 bulan kepada tiga tahun dan menambah hukuman kepada enam sebatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pindaan tersebut bertujuan untuk menaikkan had kuasa Mahkamah Syariah dalam kes jenayah syariah selaras peredaran masa.

Katanya, adalah suatu undang-undang yang mantap bahawa hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah adalah bagi kesalahan yang digubal oleh negeri-negeri berdasarkan kuasa gubalan yang termaktub dalam Butiran 1, Senarai II (Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, takrifan kuasa gubalan negeri-negeri seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes terdahulu jelas sekali mengiktiraf kewujudan sistem berkembar di negara ini.

“Antara kes-kes tersebut adalah kes Sukma Darmawan, ZI Publication Sdn Bhd dan yang terbaru kes Nik Elin Zurina yang menyaksikan mahkamah mengiktiraf sistem berkembar tersebut tertakluk kepada Klausa Pengecualian,” katanya.

Justeru, kenyataan MCCBCHST yang menyatakan cadangan pindaan terbaru Akta 355 akan mewujudkan sistem berkembar tersebut adalah tersasar jauh atas sebab-sebab tertentu.

“Sistem berkembar undang-undang telah wujud serta dipraktikkan sejak sekian lama di Malaysia iaitu dengan wujudnya sistem Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di mana Mahkamah Persekutuan tidak menghapuskan kuasa gubalan negeri secara keseluruhan ke atas kesalahan yang tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, PAS melihat cadangan pindaan tersebut boleh memperkasakan undang-undang syariah selaras dengan kehendak demokratik majoriti umat Islam di negara ini.

“Sekiranya MCCBCHST menganggap cadangan pindaan terbaru itu tidak berperlembagaan, maka persoalan yang timbul, adakah MCCBCHST ingin menyatakan bahawa Akta 355 juga tidak berperlembagaan?

“Sekiranya ya, maka ia adalah satu pandangan yang berbahaya, berniat jahat dan tidak berasas sama sekali,” ujarnya yang juga Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL (PN).

Jelasnya, undang-undang syariah tidak terpakai kepada orang bukan Islam.

“Memandangkan MCCBCHST tidak mengemukakan apa-apa penjelasan atau bukti tentang kesan pindaan tersebut ke atas orang bukan Islam melainkan sebagai andaian kosong semata-mata, maka kenyataan MCCBCHST ini jelas merupakan campur tangan yang ketara dalam hal ehwal agama Islam.

“Ia juga merupakan satu bentuk Islamofobia terhadap kedudukan dan amalan agama Islam di negara ini yang dipelihara serta dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Oleh demikian, tegasnya, PAS memandang serius kenyataan lanjut MCCBCHST tersebut amatlah jelas sebagai satu tindakan hasutan melibatkan isu-isu 3R.

Tambahnya, ia bukan semata-mata isu perlembagaan seperti yang didakwa, bahkan merupakan isu hal ehwal agama Islam dan MCCBCHST tidak mempunyai apa-apa locus standi untuk memberikan pandangan atau mengemukakan bantahan.

“Justeru atas alasan-alasan di atas, PAS sekali lagi menggesa Putrajaya supaya segera memberikan respons terhadap kenyataan MCCBCHST yang memang songsang dan tersasar itu, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2024

- Advertisement -