Sukarelawan Jabatan Amal muncul ketika banjir, kebakaran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengorbanan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) membantu masyarakat ketika berlaku sesuatu musibah tidak pernah dilupakan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, tugas sukarelawan JAM dilakukan dengan penuh ikhlas, menyebabkan mereka tidak pernah dilupakan oleh masyarakat.

“Hari ini sukarelawan amal kita diraikan pada majlis ini, sebagai menghargai pengorbanan mereka yang banyak membantu masyarakat ketika berlaku sesuatu bencana.

“Bagi merealisasikan usaha itu, seramai 100 anggota Jabatan Amal Kelantan diraikan pada majlis Iftar dan Sumbangan Amal anjuran Dewan Pemuda PAS negeri.

“Jabatan Amal sebenarnya sudah dikenali umum oleh masyarakat sebagai sukarelawan yang muncul ketika banjir, kebakaran, kenduri-kendara dan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelbagai lagi,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Iftar dan Sumbangan Amal di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, di sini semalam.

Beliau juga berkata, Pemuda PAS negeri akan sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan anggota Jabatan Amal sesuai dengan pengorbanan mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Nawi memberitahu sumbangan yang sama turut diberi kepada anggota Jabatan Amal atau keluarga mereka yang meninggal dunia atau terbabit kemalangan.

Menurutnya, Jabatan Amal tidak mahu kesedihan anggota yang terkena musibah atau kemalangan hanya ditanggung oleh keluarga mereka sahaja.

“Kerana itu sedikit sumbangan kita salurkan kepada anggota atau keluarga yang terlibat sama ada kematian atau kemalangan,” katanya lagi.

Sempena program itu, sumbangan diberikan kepada keluarga allahyarham Zuhal Syamsuri yang meninggal dunia pada 3 April lalu, Aliman Ismail (anggota keluarga terlibat kemalangan jalan raya) dan Rosdi Senik baru mendapat cahaya mata. – HARAKAHDAILY 6/4/2024

- Advertisement -