Pelajar pondok berpotensi jadi pimpinan dalam masyarakat

- Advertisement -

TUMPAT: Permodalan Kelantan Berhad (PKB) meraikan 20 pelajar pondok tahfiz sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan anjuran Pemodalan Kelantan Berhad (PKB) petang semalam.

- Advertisement -

Majlis anjuran anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu diadakan di Pondok Tahfiz Raudhatul Al-Solihin, Kampung Bukit, Wakaf Bharu, dekat sini.

Pengerusi PKB, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub Ahmad berkata, agensi itu mengambil tanggungjawab membantu pelajar pondok sempena Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, semua pihak termasuk agensi-agensi, NGO atau orang ramai hendaklah sama-sama memberi perhatian dalam membantu pelajar pondok.

“Pelajar-pelajar pondok suatu masa nanti akan menjadi orang yang penting dalam masyarakat khususnya untuk menyampaikan pendidikan agama.

“Setiap sumbangan yang dihulurkan untuk mereka besar ganjarannya yang   akan kita terima daripada Allah SWT,” ujarnya yang juga mantan menteri besar.

Menurutnya juga membantu golongan yang mencari ilmu agama amat besar ganjaran pahalanya lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan Ahmad Nazri Ismail: Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Tuan Muhammad Faizal Tuan Sulaiman: Pengurus Besar PKB, Hassan Shukri Hussein dan Pondok Tahfiz, Ustaz Mohamad Nasir Mamat. – HARAKAHDAILY 6/4/2024

- Advertisement -