Sepanyol iktiraf kedaulatan Palestin Julai ini

Pedro Sanchez bercakap dalam sidang media ketika mengadakan lawatan ke kem pelarian Palestin di Amman, Jordan. pada 2 April 2024. (FOTO: Financial Times)
- Advertisement -

AMMAN: Sepanyol akan mengiktiraf kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara menjelang Julai depan, satu langkah yang diharapkan akan membuka jalan kepada lebih banyak kuasa Barat untuk mengikutinya.

“Kita perlu berfikir dengan serius mengenai pelaksanaannya dalam separuh pertama tahun ini”, katanya. 

- Advertisement -

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata demikian ketika beliau memulakan lawatan ke timur tengah pada Selasa, bermula di Jordan, Qatar dan Arab Saudi, lapor Financial Times.

Sanchez sebelum ini telah memberikan isyarat bahawa negaranya akan mengiktiraf Palestin, namun tidak memberikan garis masa mengenai situasi tersebut.

Beliau juga memaklumkan negaranya akan mengambil perhatian yang penuh mengenai keputusan yang akan diambil di Brussels dan New York; merujuk kepada ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Sementara itu, pegawai kerajaan negara berkenaan melihat pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat merupakan langkah penting ke arah penyelesaian dua negara.

Mereka juga mahu komuniti antarabangsa membantu dalam mengukuhkan Pihak Berkuasa Palestin untuk mentadbir wilayah Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, sambil berpandangan bahawa Hamas tidak sepatutnya mempunyai kuasa untuk mentadbir Gaza seperti sekarang.

Sebagai makluman, Sepanyol boleh mengiktiraf sesebuah negara dengan kelulusan daripada kabinet sahaja, tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada dewan parlimen. 

Setakat ini, sebanyak 139 daripada 193 negara di dunia telah mengiktiraf kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Argentina, Brazil, China dan India. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -