PAS Semporna meriahkan Ramadan bersama anak yatim

- Advertisement -

SEMPORNA: PAS Kawasan Semporna memeriahkan Ramadan dengan meraikan anak yatim menerusi pelbagai program.

- Advertisement -

Antara program yang dianjurkan ialah majlis berbuka puasa dan memasak bubur lambuk bersama 40 penghuni Pondok Anak-anak Yatim Ummi di Kampung Bukit Lalang, di sini, semalam.

Selepas menunaikan solat Asar, program dimulakan dengan tazkirah Nuzul al-Quran yang disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Semporna, Abdul Jalal Ujoh.

Beliau berpesan agar masyarakat menghidupkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan membaca dan memahami al-Quran.

Ini, katanya kerana kitab suci itu akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari akhirat kelak.

Selain itu, turut diadakan permainan, kuiz, aktiviti membuat kuih dan bubur lambuk bagi persiapan juadah berbuka puasa yang melibatkan anak yatim bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama mereka.

Sementara itu, pengasas pondok, Ustazah Talpah Ubah mengucapkan ribuan terima kasih kerana PAS akan datang menziarahi setiap tahun.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT atas rezeki ini, PAS Semporna sentiasa melengkapkan keperluan kami dan memeriahkan lagi sambutan bulan Ramadan yang mulia ini,” ujarnya.

Turut hadir ialah Ketua Biro Kebajikan dan Keprihatinan PAS Semporna, Razis Asparin, ketua pemuda dan muslimat, Muhammad Huzaini dan Afiqah Adam. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -