Pembangkang guna duit poket sendiri bantu rakyat

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

PASIR MAS: Perdana Menteri disaran lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan kerana dianggap tidak menjiwai penderitaan dihadapi rakyat sekarang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenaikan kos sara hidup yang mencengkam kehidupan rakyat turut dirasai wakil-wakil rakyat sebagai tempat mereka mengadu masalah.

“Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan mungkin Perdana Menteri yang tidak menghayati tugas wakil rakyat dan derita rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup semakin meningkat.

“Apabila Ahli Parlimen dinafikan hak mendapat peruntukan, apakah lagi sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat,” katanya di sini.

Semalam, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor membidas Ahli Parlimen pembangkang yang mempertikaikan usaha kerajaan memperbaiki dasar negara termasuk penyasaran subsidi dan skim pencen.

Katanya beliau kecewa kerana usaha kerajaan itu dikaitkan dengan dakwaan ada Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) kini tergolong dalam kumpulan B40 kerana tidak mendapat peruntukan.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sebahagian daripada gaji dan elaun digunakan wakil rakyat diguna untuk membantu rakyat.

Menurutnya ramai Ahli Parlimen pembangkang terpaksa menggunakan poket sendiri bagi membantu rakyat berbanding wakil rakyat kerajaan mendapat peruntukan tahunan.

“Setiap bulan kita terpaksa mengeluarkan wang dari saku sendiri untuk membantu rakyat yang berdepan dengan pelbagai kesukaran.

“Satu perdua daripada elaun kita dimanfaatkan bagi membantu rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -