LRA Kelar II tingkat bekalan air di Pasir Mas, Tumpat

- Advertisement -

PASIR MAS: Bagi mengatasi masalah bekalan air di jajahan Pasir Mas dan Tumpat, kerajaan negeri akan membina Loji Rawatan Air (LRA) Kelar II.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, tender akan dikeluarkan pada Jun hadapan dan projek tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, sebanyak 64 juta liter sehari (MLD) dihasilkan daripada LRA Kelar sekarang tidak mampu memenuhi permintaan penduduk di Tumpat.

“Biarpun di Tumpat ada LRA Pengkalan Nangka berkapasiti 50 MLD, namun ia tidak dapat menampung jumlah pengguna.

“Projek Kelar II dalam proses untuk tender. Loji itu dengan kapasiti 20 MLD boleh menampung sehingga 20,000 akaun pengguna.

“Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar 14 MLD dari LRA Kelar kepada pengguna di jajahan Tumpat,” katanya pada sidang media selepas melawat LRA Kelar di sini petang semalam.

Sebelum itu, beliau mengikuti taklimat daripada pengurusan AKSB mengenai pengoperasian loji terbabit. Turut hadir Timbalan Exco Saizol Ismail; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari; Adun Chetok Zuraidin Abdullah dan Adun Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad. (Foto atas)

Baru-baru ini, pengguna di Pasir Mas dan Tumpat berdepan masalah gangguan bekalan air ekoran paras ais Sungai Kelantan di muka sauk LRA Air susut berikutan kemarau.

Dr Izani berkata apabila LRA Kelar II siap ia dijangka menyelesaikan masalah bekalan air di Pasir Mas dan Tumpat, di samping menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW).

“Kelantan mencatatkan kadar NRW yang tinggi kerana masih menggunakan paip usang berusia lebih 40 tahun yang mudah bocor apabila berlaku peningkatan tekanan air.

“Kerajaan negeri sudah menghantar cadangan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi meneruskan projek penukaran paip lama,” ujarnya.

Menurutnya, projek tersebut penting bagi mengurangkan NRW sebelum sampai kepada pengguna. – HARAKAHDAILY 3/4/2024