7 maut dibom Israel: WCK hentikan operasi di Gaza

Tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK) yang terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza pada Isnin, 1 April 2024. (FOTO: X@WCK/Independent.co.uk.)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Badan amal makanan antarabangsa, World Central Kitchen (WCK) menghentikan operasinya di Semenanjung Gaza berikutan kematian tujuh pekerjanya dalam serangan udara tentera Zionis Israel di Deir al-Balah.

Tiga daripada pekerja bantuan yang terbunuh merupakan rakyat United Kingdom, serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat-Kanada, Australia, Poland, dan Palestin.

- Advertisement -

WCK dalam kenyataannya berkat, individu yang maut dalam tragedi itu ialah Saifeddin Issam Ayad Abutaha, 25, dari Palestin; Lalzawmi ‘Zomi’ Frankcom, 43, (Australia); Damian Soból, 35, (Poland); Jacob Flickinger, 33, (warganegara AS-Kanada); serta tiga warga United Kingdom, John Chapman, 57, James ‘Jim’ Henderson, 33, dan James Kirby, 47, lapor Independent.co.uk.

Jurucakap WCK berkata, mangsa yang terbunuh adalah sebahagian daripada konvoi bantuan yang sedang meninggalkan sebuah gudang di tengah Gaza ketika kejadian pada Isnin (1 April) itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sehubungan itu telah mengakui bahawa tentera Israel menyasarkan ‘orang yang tidak bersalah’; manakala pejabat media Hamas Gaza juga menyalahkan Israel.

WCK adalah salah satu pembekal utama bantuan bekalan makanan yang sangat diperlukan kepada Gaza, namun ia berkata bahawa ia akan ‘membuat keputusan tentang masa depan operasinya di Gaza dalam masa terdekat ini’.

Visual salah sebuah daripada tiga kenderaan WCK yang dibom tentera udara Israel di Deir al-Balah. (FOTO: AFP/ Getty’s Images)

Menurut badan amal itu lagi, konvoi bantuan itu dibom Israel ketika meninggalkan gudang di  Deir al-Balah, lokasi ‘di mana pasukan itu telah memunggah lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza melalui laluan maritim’.

Konvoi itu terdiri daripada tiga kenderaan, termasuk dua kenderaan berperisai, dan media difahamkan bahawa ketiga-tiga kenderaan itu telah terkena serangan Israel itu.

WCK berkata, ia terlebih dahulu telah menyelaraskan pergerakan konvoi dengan Angkatan Tentera Israel ( IDF), namun tetap diserang; manakala sumber daripada pihak perubatan Palestin memberitahu BBC bahawa kesemua pekerja ketika kejadian memakai jaket kalis peluru dengan logo WCK.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, ia telah menemui kesemua tujuh mayat dari tempat kejadian susulan ‘operasi mencabar yang berlangsung selama beberapa jam’.

Kerosakan teruk pada salah sebuah darpada tiga kenderaan WCK yang terbabit dalam kejadian serangan udara oleh tentera Israel di Deir al-Balah pada Isnin, 1 April 2024. (FOTO: AFP-Yonhap)

Kumpulan kemanusiaan itu menambah bahawa kesemua mayat telah dibawa ke Hospital Abu Yousef al-Najjar di selatan Gaza sebagai persediaan untuk pemindahan mereka melalui lintasan sempadan Rafah ke Mesir.

WCK berkata dalam satu kenyataan baru-baru ini, bahawa ia telah menyediakan lebih daripada 42 juta makanan kepada penduduk di Gaza sejak Oktober dan telah bersedia untuk menyediakan lebih daripada satu juta lagi bekalan makanan.

Badan amal itu baru-baru ini menjadi tajuk utama berita dunia susulan telah menyediakan ratusan tan makanan untuk penduduk Gaza yang diangkut dengan kapal pertolongan cemas pada bulan Mac lalu.

Ia telah mula menyampaikan bantuan melalui jalan laut untuk meningkatkan jumlah masuk ke wilayah itu, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kini sudah berada di ambang kebuluran.

Berikutan serangan maut itu, badan amal kedua yang berpangkalan di AS, American Near East Refugee Aid (Anera), yang bekerjasama rapat dengan WCK, memberitahu BBC ia juga akan membekukan operasinya di Gaza. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -