Kursus di IPT perlu diselaras dengan perkembangan AI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mengambil perhatian berkenaan perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang akan memberi kesan kepada beberapa kursus di pusat pengajian tinggi (IPT).

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi perlu mengambil sebarang langkah bagi mengatasi ataupun menghadapi permasalahan ini.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, KPT akan menilai fakulti-fakulti daripada indikatornya mengenai kebolehpasaran graduannya. 

“Bila kebolehpasaran graduannya di bawah 30 peratus, memang fakulti tersebut terpaksa sama ada diberhentikan atau diubah suai supaya mengikuti keperluan industri. Jadi itu yang sebenarnya yang sedang berlaku.

“Dan perkembangan-perkembangan teknologi baru ini memang kita tidak boleh nafikan dan kita akan pastikan bahawa pelajar-pelajar kita daripada semua fakulti ini akan dapat mengikuti kursus-kursus dan didedahkan dengan teknologi-teknologi baru terutama AI ini,” jawab beliau.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang meminta Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan perancangan akan diambil dalam menghadapi cabaran teknologi termasuk AI yang dilihat semakin meluas supaya ia dapat memberi manfaat positif kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -