PRK kaedah terbaik selesai kemelut MP beralih sokongan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

PASIR MAS: PAS menyifatkan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan BERSATU sebagai langkah menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan RoS diharap dapat merungkai kemelut enam Ahli Parlimen (MP) parti itu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Madani.

“Sebagai wakil PAS saya mengucap tahniah kepada BERSATU dan berharap dapat menyusun kaedah untuk memastikan tindakan yang bertentangan arahan parti dapat ditangani.

“Kita yakin kemampuan mereka untuk menyelesaikan konflik. Bagi kita tiada penyelesaian yang terbaik melainkan diadakan pilihan raya kecil (PRK) di kesemua kerusi Parlimen terbabit.

“Setidak-tidaknya ini merupakan satu langkah ke hadapan bagi menyelesaikan konflik. PAS sentiasa siap sedia kerana mood rakyat dilihat masih menolak kerajaan hari ini,” katanya di sini.

Sebelum ini enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mereka iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Dato’ Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Langkah serupa juga dijejaki ADUN Selat Klang, Dato’ Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan yang sama kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada Mac lalu, BERSATU melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa melulus usul meminda perlembagaan parti itu bagi membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.

Pindaan membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -