Diminta hargai konsert LGBTQ kerana bawa pendapatan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan agar tidak membiarkan aksi jelik artis lesbian gay biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) menjadi umpama ‘pisang berbuah dua kali’ di negara ini.

- Advertisement -

Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, ia susulan dari kejadian seorang vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy bercium di atas pentas dan menghina Perlembagaan Negara pada Julai lepas.

“Saya agak terkilan atas kejadian yang pernah menimpa negara pada Julai tahun lalu seorang ahli kumpulan artis barat, dalam keadaan yang mabuk, bercium sama jenis di atas pentas yang disaksikan puluhan ribu manusia.

“Kemudian dia mengina dasar negara yang menghalang LGBTQ ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Kementerian Komunikasi di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Musoddak, kerajaan perlu tegas terhadap kejadian itu agar perlakuan seumpama tidak berulang lagi.

“Soalan saya, apakah pendirian kerajaan terhadap insiden penghinaan kepada negara sedemikian rupa, apakah langkah susulan yang lebih ketat diambil bagi mencegah pisang buah dua kali.

“Mengapa dibenarkan penyanyi Ed Sheeran yang juga seorang gay membuat persembahan dalam negara kita,” katanya lagi.

Timbalan Menteri, Teo Nie Ching dalam maklum balasnya menyatakan perlu untuk menghargai industri konsert negara walaupun berlaku kejadian negatif seumpama itu.

“Saya harap Ahli Yang Berhormat janganlah sebab satu insiden yang buruk, kita letak satu konotasi yang cukup-cukup negatif. 

“Jangan kita lupa, konsert Coldplay juga membawa cukai sebanyak RM8 juta kepada kerajaan kita, dan pada masa yang sama, impak ekonomi adalah sebanyak RM137 juta. 

“Jadi, saya rasa kita juga perlu menghargai industri konsert ini kerana ia juga merupakan satu sumber pendapatan yang cukup tinggi untuklah negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -