Tempoh MPP: Letak tanda aras tindakan LPU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pindaan AUKU perlu meletak tanda aras khusus agar Lembaga Pengarah Universiti (LPU) tidak bertindak sewenangnya dalam menentukan tempoh penjawatan bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

- Advertisement -

Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) di Dewan Negara, hari ini.

“Persoalan yang saya ingin ajukan di sini adalah apakah faktor yang mengikat tindakan lembaga untuk sama ada mengurangkan atau memanjangkan tempoh seseorang MPP untuk menjawat jawatannya. 

“Apakah asas pertimbangan bagi lembaga menentukan tindakan mengurangkan tempoh penjawatan mahupun memanjangkannya lebih daripada tempoh satu tahun akademik yang tertakluk di bawah subseksyen 4A ini,” katanya.

Hal tersebut, menurut Musoddak, ia sangat terbuka dan kuasa yang diberikan kepada lembaga juga sangat luas.

“Saya kira ia masih perlu diletakkan suatu tanda aras yang khusus supaya lembaga tidak bertindak sewenangnya dalam menentukan tempoh penjawatan bagi MPP,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, pindaan Seksyen 48(4) Jadual Pertama itu ditambah suatu peruntukan iaitu berkenaan subseksyen 4A yang menyatakan bahawa Lembaga boleh mengurangkan atau melanjutkan tempoh keahlian MPP dan pemegang jawatannya.

Senator Datuk Razali Idris dalam pada itu meminta Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan tempoh pemegang jawatan Majlis Perwakilan Pelajar yang boleh dikurangkan secara langsung.

Beliau berkata, hal ini kerana boleh menimbulkan satu spekulasi akan keterjaminan penguatkuasaan yang adil kerana tiada keterangan diberi oleh pihak Lembaga Pengarah Universiti untuk dikurangkan ataupun dilanjutkan.

Ujarnya, penjelasan ini penting bagi memudahkan proses pertimbangan perjuangan hak mahasiswa terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar.

“Saya juga nak tahu kerana ada masanya perlu bagi mengawal mahasiswa bertindak yang bukan-bukan, apatah lagi kalau ada provokasi daripada pihak tertentu walaupun mungkin datangnya daripada kerajaan yang sedia ada,” kata beliau.

Selain itu, beliau menyentuh berkenaan fasal 2 berkaitan membenarkan pungutan wang yang banyak perlu dilihat dan diperhalusi.

“Pertamanya saya sebenarnya bimbang andainya ada unsur-unsur penggubahan wang haram yang mungkin timbul apatah lagi apabila pihak-pihak tertentu.

“Terutamanya parti politik yang begitu ghairah sebenarnya untuk mendapatkan undi pertama kali dan undi belia seperti mahasiswa. Jadi setakat mana pihak kementerian melihat dalam perkara ini,” soal beliau.HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -