Derita rakyat: Rujuk data keseluruhan kenaikan harga barang

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa merujuk data secara keseluruhan kenaikan harga barangan mendapat gambaran sebenar beban dan penderitaan yang ditanggung rakyat pada ketika ini.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, gesaan itu dibuat khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak Kementerian, terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

- Advertisement -

Menurut beliau, data terkini menunjukkan harga barangan keperluan seperti bawang besar, sardin, daging, marjerin, cili kering, mentega, ikan keli, susu pekat manis, sos cili dan beberapa lagi barangan makanan secara purata menunjukkan kadar kenaikan antara 25 peratus hingga 30 peratus berbanding harga pada Januari 2022.

“Sebagai contoh, harga bawang besar import India naik kepada RM8.26 pada April 2024 berbanding kira-kira RM4.20 pada Jan 2022.

“Bagi bawang putih import pula, harga naik kepada RM12.38 berbanding RM8.81 pada Jan 2022. Sementara,  bagi harga sardin cap ayam 425 gram naik kepada RM10.21 berbanding RM8.32 pada Januari 2022,” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.

Tambah beliau, jika merujuk kepada pola kenaikan harga barangan keperluan ini, secara umumnya kenaikan harga telahi menyebabkan pertambahan kos kepada isi rumah dan ia juga memberi tekanan kepada peniaga kecil kerana kenaikan kos yang ketara dalam perniagaan mereka. 

Ahli Parlimen Jerantut ini turut menjelaskan bahawa, apabila kenaikan harga adalah melebihi daripada paras ‘biasa’, atau harga meningkat ‘berlebihan’, situasi ini menjadi sukar kepada rakyat terutama kepada pengguna yang berpendapatan rendah.

“Walaupun Perdana Menteri mengumumkan tiga barangan utama iaitu beras import, ayam serta telur ayam lebih rendah dan stabil berbanding sebelum ini, saya menyeru supaya keseluruhan data dilihat bagi mendapatkan keadaan sebenar bagi menentu ukur kejayaan sesuatu langkah intervensi (campur tangan) pihak kerajaan dalam mengawal harga barangan, bukan hanya melihat kepada beberapa parameter sahaja. 

“Ini kerana tiada gunanya hanya beberapa barangan mencatatkan penurunan tetapi ‘trend’ keseluruhan jangka panjang berkaitan harga barang dan inflasi tetap meningkat dan terus membebankan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -