PN optimis rampas DUN Kuala Kubu Baharu

Muiz Mahyuddin ketika ditemui dalam majlis pecah tanah bagi mendirikan Kompleks Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor di Bandar Rimbayu, Hulu Langat, Selangor pada 31 Mac 2024.
- Advertisement -

KUALA LANGAT: Perikatan Nasional (PN) optimis bakal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas akibat kanser ovari yang dialami beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Muiz Mahyuddin berkata, calon PN yang bakal dipilih untuk bertanding kelak ialah yang memiliki imej bersih, kredibiliti, dan kewibawaan untuk menjadi pemimpin.

- Advertisement -

“Kita akan memastikan kestabilan dalam kepimpinan Perikatan Nasional, lebih-lebih lagi di negeri Selangor ini,” katanya yang ditemui HarakahDaily dalam dalam majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, di sini, semalam. 

Menyentuh mengenai isu peralihan undi kaum Cina kepada PN berikutan situasi ekonomi dan politik di bawah Kerajaan Madani, beliau percaya masyarakat Cina di DUN tersebut semakin bijak dalam membuat pilihan undi mereka.

“Apa yang mereka lihat bukan lagi mengenai dominan sesebuah parti, tetapi mereka ingin lihat prestasi (parti) sebenarnya.

“Kalau kita lihat, ramai dalam kalangan masyarakat Cina sudah mula menilai bagaimana prestasi Perikatan Nasional di negeri Selangor ini yang dilihat lebih terkehadapan.

“Oleh itu, saya yakin pengundi-pengundi Cina di DUN Kuala Kubu Baharu akan memilih calon daripada Perikatan Nasional yang dilihat lebih bersedia untuk menjadi sebuah kerajaan suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -