Rakyat semakin terbukti tidak percayakan PADU

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketidakyakinan rakyat terhadap sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dibuktikan dengan keputusan kerajaan negeri Sarawak terkini mengeluarkan arahan kepada agensi-agensinya, untuk tidak mengeluarkan sistem tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata, masalah tersebut ditambahkan lagi dengan statistik terkini PADU yang mana hanya sekitar 5 juta daripada 30 juta orang mendaftar tersebut.

- Advertisement -

“Ini yang berlaku sedangkan tarikh akhir mengisi maklumat PADU adalah 31 Mac ini yang mana Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang efektif telah beberapa kali bangkitkan isu tersebut,” katanya.

Menurut beliau, antara perkara yang disentuh oleh PN mengenai isu tersebut adalah berkaitan butiran dan perincian yang perlu diisi dalam sistem tersebut yang tidak diberikan justifikasi yang jelas oleh pihak kerajaan itu sendiri.

“Antaranya ialah seperti butiran hutang yang ditanggung oleh setiap agensi dan agensi kerajaan atau kementerian mana yang akan menguruskan data raya yang bernilai ini?

“Apabila membangkitkan pengurusan data majoriti rakyat Malaysia, kerajaan perlu membuat penerangan yang jelas dan tuntas kepada rakyat berkenaan agensi mana yang akan menguruskan sebagai bukti akauntabiliti pihak kerajaan dalam menguruskan amanah ini.

“Malangnya cara pengurusan kerajaan terhadap persoalan rakyat juga cukup mengecewakan dan tidak profesional,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan keperluan dan tujuan pengisian maklumat sistem PADU itu sendiri yang tidak dijawab dengan profesional oleh pihak kerajaan.

Kata beliau, kerajaan seharusnya menyatakan dengan tersusun dan jelas mengenai mekanisme dan kaedah pelaksanaan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekirahnya PADU perlu diisi sebagai syarat bersasar untuk pelaksanaan subsidi bersasar.

“Kami menekankan kepada pihak kerajaan Madani agar menyemak semula proses pelaksanaan PADU termasuklah libat urus dan perbincangan dengan semua pihak pemegang taruh yang mana perkara tersebur perlu dilaksanakan secara tersusun.

“Ini bertujuan supaya tidak kelihatan terlalu gopoh mengejar sesuatu yang tidak pasti memandangkan situasi yang melanda kerajaan sekarang iaitu ketidakyakinan rakyat terhadap sistem PADU adalah berpunca daripada kegagalan Kementerian Ekonomi dalam menyusun atur pelan pembangunan PADU dan rasionalisasi subsidi secara strategik,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2024

- Advertisement -