Isu Wan Saiful ada ‘precedence case’ mendiang Karpal

Dr Ronald Kiandee
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usul dibawa Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasik Gelugor) yang mendedahkan ditawar habuan untuk menukar sokongan, dimaklumkan mempunyai ‘precedence case’ melibatkan mantan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh pada tahun 2009.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, perkara serupa pada waktu itu berlaku di mana Karpal diganggu dalam kompaun Bangunan Parlimen dan beliau telah mengemukakan aduan dalam Dewan Rakyat pada hari yang sama.

- Advertisement -

“Beliau (Karpal) membuat aduan kepada Parlimen dan seterusnya pada hari yang sama usul penubuhan jawatankuasa untuk menyiasat aduan perbuatan menghina Majlis di bawah Peraturan 80(A) itu telah dibuat oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan usul diluluskan,” ujarnya.

Katanya lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu adalah Ahli Parlimen dari Padang Rengas dan usul diluluskan di bawah 80A yang kemudian satu jawatankuasa dibentuk di bawah peraturan itu dan enam bulan selepas itu, pada 2 Julai prosiding dibuat oleh jawatankuasa itu.

“Menteri yang sama telah mengumpulkan keputusan dan hukuman dikenakan kepada beberapa orang yang dikatakan mengganggu Ahli Parlimen Tasik Gelugur ketika itu,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Ronald turut berharap agar Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat mengambil serius kepada aduan tersebut kerana ia melibatkan gangguan terhadap seorang Ahli Parlimen.

“Yang Berhormat Speaker mesti mendukung Peraturan Mesyuarat ini kerana Yang Berhormat adalah ‘penjaga’ kepada Peraturan Mesyuarat dan harus melihat perkara ini dengan serius,” ujarnya.

Wan Saiful hari ini menggemparkan Dewan Rakyat apabila mendedahkan beberapa nama yang terlibat dalam perbincangan tersebut iaitu Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang) dan individu lagi bernama Hasman’ serta ‘Datuk Azman.

Antara tawaran yang dibuat oleh individu-individu tersebut ialah mengenai peruntukan Parlimen; peruntukan projek RM2 juta; bayaran kos perubatan isterinya; kos guaman untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah; selain token yang tidak dinyatakan jumlahnya dan juga pengguguran kes beliau di mahkamah. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -