Kedah Agro: Beban warisan kerajaan terdahulu

Zulkifli Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu Kedah Agro Holdings Bhd (KAHB) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) bukanlah bermula ketika PERIKATAN NASIONAL (PN) mengambil alih pada 17 Mei 2020, sebaliknya sejak zaman Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya, berdasarkan rekod, projek Ladang Kedah Agro di Bukit Tangga yang keluasannya 200 ekar diusahakan projek nenas Moris, kelapa dan betik hanya berjaya sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) iaitu sewaktu Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar tetapi musnah terabai di masa pemerintahan BN.

Namun katanya, seperti biasa Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus menjadi sasaran belasahan kelompok paling atas (menteri) termasuk kumpulan macai yang digelar walanon secara membabi buta.

Malah ujar beliau, sekiranya terdapat apa-apa jua isu sekalipun paling remeh di Kedah, pasti akan diperbesarkan dengan penuh sempurna oleh golongan pro Kerajaan Madani (Madanon) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Isu yang menjadi bahan kecaman terhadap Sanusi iaitu KAHB yang didakwa tidak membayar gaji kepada pekerjanya selama beberapa bulan. Sedangkan GLC atau syarikat berkaitan kerajaan negeri adalah syarikat yang menguruskan perniagaan. Sama seperti mana-mana perniagaan dalam dunia ini, cari projek, buat bisnes dan buat untung.

“Dari keuntungan itu, sebahagiannya bayar gaji pekerja. Hakikatnya mereka bekerja untuk membiayai diri sendiri dan mengembangkan syarikat melalui keuntungan besar setiap tahun.

“Bukan masuk kerja jam 8.00 hingga 5.00, cukup bulan kerajaan bayar gaji. Gaji tertunggak, kerajaan yang dipersalahkan. Namun itulah gambarannya berhubung kemelut KAHB,” katanya lagi. 

Justeru ujar beliau, kecaman membabi buta terhadap Menteri Besar dan kerajaan negeri atas isu itu memberi gambaran pemikiran yang sangat jahil bagi kaum walanon yang tidak tahu membezakan antara GLC dan kerajaan negeri.

Jelasnya lagi, projek ladang KAHB ketika PR menerajui Kedah diabaikan kerajaan selepasnya (BN) yang natijahnya gaji pekerja ladang tidak dibayar berbulan-bulan yang akhirnya ramai yang cabut lari kerana tidak tahan.

Namun mungkin kerana ketika itu menteri DAP belum ada di dalam kerajaan, maka kegagalan rakan sekutu mereka itu (BN) tidaklah dicanangkan, sindir beliau.

KAHB jelas Zulkifli adalah anak Syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) di mana di bawah KAHB sendiri terdapat lima anak syarikat lain dan ketika PN mengambil alih Kedah, kesemua lima anak syarikat itu sudah pun dormant (tidak beroperasi) dan pekerjanya dipindahkan ke KAHB.

“Terdapat 30 staf pada waktu itu, kini tinggal 24 sahaja. Ada tiga pengurus di pejabat dan dua pengurus di tapak, sepatut boleh rancang projek-projek berdaya maju yang hebat-hebat, sekurang-kurangnya jana pendapatan untuk bayar gaji. Kenapa tidak berlaku? Kena tanya mereka sendiri.

“Staf pengurusan kebanyakannya tiada latar belakang pertanian, melainkan mereka yang bekerja di tapak projek sahaja sebahagiannya lulusan Kolej Pertanian. Mengapa terjadi begitu, juga kena tanya pentadbiran KAHB zaman PH dan BN. Hampir semua staf lantikan zaman kerajaan dahulu. Nak cakap lebih-lebih, bulan puasa,” bidasnya lagi.

Dalam pada itu beliau berpandangan sepatutnya kerajaan negeri sekarang membuat penstrukturan semula dan mengambil tenaga yang optimum untuk pengeluaran serta berdasarkan merit.

Kakitangan yang tidak produktif, ujarnya sepatut ditamatkan perkhidmatan namun sifat kemanusiaan kerajaan PN sangat tinggi, tidak mudah-mudah untuk membuang pekerja sekalipun lantikan di zaman kerajaan terdahulu namun insiden itu menjadikan rakos operasi (OPEX) menjadi tinggi.

“KAHB tinggalan zaman PH memang langsung tidak menjana pendapatan malah tiada pendapatan walaupun terdapat empat projek usahasama sedang berjalan ketika itu iaitu Rimbunan Kasih di Bandar Baharu, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tobiar, Fidlot Sungai Laka dan Sangkar Laut Langkawi.

“Tetapi projek itu tiada satu pun menjana pendapatan untuk KAHB. Mengapa terjadi demikian? Walaupun nak elak jawab di bulan Ramadan ini tapi yang jelasnya ‘hang tak reti jaga syarikat’.

“Tiga bulan pertama ini MBI bayar gaji penuh. Lepas tu sampai bulan Jun MBI bantu setengah bulan gaji. Kemudian MBI bantu bila perlu sahaja. Lama mana si bapak larat ka nak tanggung, anak dah besar panjang,” soal beliau. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -